Liga Super Malaysia Berita

Bekas pemain Johor ini beri sebab mengapa Sumareh perlu sertai JDT

Bekas pemain Johor, Rizal Sukiman menganggap sudah tiba masa untuk Mohamadou Sumareh melebarkan sayapnya di JDT.

Rizal yang merupakan sebahagian dari skuad Johor yang memenangi Piala FA pada 1998 berpandangan bahawa keupayaan yang ditunjukkan oleh Sumareh sepanjang beraksi dengan pasukan Pahang serta aksinya yang memberangsangkan dalam skuad kebangsaan akan memberi nilai tambah kepada JDT.

“Dia ada 20 peratus lebih daripada pemain tempatan,” katanya kepada BH Sukan.

“Lagi bagus kalau Sumareh ke JDT kerana ada ramai pemain kebangsaan. Secara tidak langsung, ini akan bantu skuad kebangsaan kita juga kerana mereka ada persefahaman yang baik apabila beraksi bersama di peringkat kelab.

“Berdasarkan kemudahan dan persaingan dengan pemain import serta pemain tempatan yang ada di sana, saya yakin dia mampu untuk terus meningkatkan lagi kualiti permainan dan prestasinya.”

Mohd Fauzi Pilus yang merupakan jurulatih kepada Sumareh pada permulaan kariernya mengakui pemain naturalisasi negara itu menunjukkan peningkatan yang ketara sejak memulakan karier profesional di PDRM.

“Saya menyaksikan sendiri perkembangannya sejak mula dia beraksi bersama PDRM dan memang kita boleh nampak peningkatannya. Dia memang pemain yang berkemahiran, kuat dan ada keazaman yang tinggi.

“Dia antara pemain sayap terbaik di negara ini. Saya yakin kalau dia mendapat peluang di JDT, dia mampu bersaing dengan pemain di sana dan ini juga peluang untuknya beraksi di peringkat lebih tinggi.”

Dengan khabar angin kuat dan laporan media yang mengatakan bahawa Sumareh sedang mengadakan perbincangan dengan JDT, hanya tunggu masa sahaja sebelum ia menjadi kenyataan.