Liga Super Malaysia Berita

Aidil Sharin: Harap bayaran gaji kembalikan semangat pemain Kedah

Selepas peruntukan sebanyak RM2 juta diluluskan bagi membayar tunggakan gaji pemain Kedah, jurulatih pasukan Aidil Sharin berharap para pemain lebih bersemangat dalam mengharungi cabaran musim ini.

Peruntukan RM500,000 telah dibayar minggu lepas, manakala peruntukan RM1.5 juta dibayar minggu ini, sebelum sambutan hari raya Aidilfitri.

“Saya bersyukur dengan berita positif berkaitan kelulusan peruntukan gaji itu dan sebagai ketua jurulatih saya berharap semua pemain kini lebih bersemangat dan terus fokus menjalani latihan seperti yang dirancangkan,” katanya kepada BH Sukan.

“Saya bersama barisan kejurulatihan Kedah serta semua pemain sentiasa komited dalam mengekalkan tahap keupayaan pasukan di peringkat terbaik walaupun dalam keadaan Liga M yang terhenti ini.”

“Saya juga berharap pengurusan baharu KFA yang bakal dilantik nanti akan terus memainkan peranan penting dalam usaha memaju dan meningkatkan nama pasukan Kedah dalam Liga M seterusnya.”

Walaubagaimanapun, pembayaran gaji itu tidak melibatkan bulan April dan bulan Mei.

Aidil juga mengesahkan beliau akan pulang ke Kedah selepas menyambut hari raya di Singapura.

“Saya berharap mereka terus bersemangat menjalani rutin latihan secara biasa buat sementara waktu ini.”