Liga Premier Malaysia Berita

Kelantan FA nafi cabar FIFA, hanya minta tangguh dan kurangkan tuntutan gaji Cassio

Setiausaha Agung KAFA, Hussin Deraman menafikan pihaknya telah menghantar rayuan kepada CAS untuk membatalkan keputusan tuntutan gaji bekas pemain importnya, Cassio.

Katanya, KAFA hanya bercadang untuk menangguhkan dan pengurangan tuntutan gaji pemain import itu.

Ia berlainan dengan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid yang menyatakan bahawa pihaknya telah memfailkan rayuan kepada CAS untuk mengetepi dan membatalkan keputusan FIFA.

“Mungkin ada sedikit salah faham daripada kenyataan itu. Kami tidak memohon untuk membatalkan, apatah lagi mencabar,” katanya Sukan Sinar.

“Untuk peringkat pertama, kami hanya meminta penjelasan atau dalam istilah undang-undangnya ground decision berhubung isu ini.

“Permohonan itu sudah kami hantar kepada CAS dan sedang menunggu jawapan. Selepas mendapat penjelasan daripada FIFA, barulah kami akan buat rayuan untuk meminta penangguhan atau pengurangan pembayaran tersebut.”

FIFA mengarahkan KAFA untuk menyelesaikan tunggakan gaji berjumlah RM629,620.28 kepada Cassio dalam tempoh 30 hari bermula 23 April.

Disebabkan itu, KAFA melancarkan tabung meminta bantuan penyokong untuk membayar tunggakan gaji Cassio.

Hussin turut menjelaskan, KAFA yakin dengan permohonan yang dibuat kepada CAS berdasarkan beberapa kes terdahulu.

“Untuk kes seperti ini, peringkat pertama ini biasanya akan diterima oleh CAS dan kami akan mempunyai tambahan masa 45 hari untuk menjelaskan bayaran selepas tempoh 23 Mei berakhir.

“Bagaimanapun, semuanya bergantung kepada keputusan CAS nanti dan kami mengharapkan sesuatu yang positif akan diperoleh.”