Liga Super Malaysia Berita

Melaka United dapat gaji bulan Mac, namun gaji April diberi lepas raya

Naib Presiden Melaka United, Mohd Ashiq Abd Samad mengesahkan bahawa pihak pengurusan sudah mula membayar tunggakan gaji bagi bulan Mac, manakala gaji bulan April akan diselesaikan selepas Hari Raya Aidilfitri.

Pembayaran itu kemungkinan dapat dilakukan hasil daripada peruntukan kerajaan negeri yang kini di bawah pentadbiran baharu.

“Kami sudah mula membayar tunggakan gaji untuk Mac terlebih dahulu membabitkan pembayaran kira kira RM1 juta,” katanya kepada Arena Metro.

“Selepas ini, kami akan uruskan pembayaran untuk April kerana kami sudah mula mengenakan pemotongan gaji akibat COVID-19.”

Sebelum pertukaran kerajaan, barisan pemain, pegawai dan jurulatih Melaka United sudah pun berbincang mengenai pemotongan gaji dan dilaporkan sudah mencapai persetujuan terhadap pendekatan tersebut.

“Kami perlu selesaikan dahulu tunggakan yang berlaku sebelum COVID-19 untuk membuat pemotongan gaji pada April. Sebab itulah kami akan lunaskan tunggakan bagi Mac sebelum Hari Raya.

“Pembayaran bagi Mac sudah bermula namun ia berperingkat di mana ia dibuat mengikut pasukan Liga Super, Piala Presiden dan pasukan yang seterusnya.”