Malaysia Berita

Tiada Piala Sultan Selangor tahun ini

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah membuat keputusan untuk membatalkan Piala Sultan Selangor edisi 2020 susulan wabak COVID-19.

Kejohanan edisi ke-19 yang melibatkan perlawanan antara Selangor dan Singapura itu sepatutnya diadakan pada 15 Ogos di Stadium Shah Alam.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin membuat keputusan tersebut setelah mempertimbangkan isu kesihatan dan keselamatan peminat yang merupakan keutamaannya.

“Baginda tidak mahu perlawanan diadakan secara tertutup dalam stadium yang kosong kerana penyokong Selangor dan Singapura sudah menjadi sebahagian daripada elemen penting dalam memeriahkan Piala Sultan Selangor dan tradisi itu akan diteruskan pada masa akan datang.

“Edisi Piala Sultan Selangor seterusnya akan diadakan pada 2021.”