Liga Premier Malaysia Berita

Yusri Che Lah: Harap Kelantan FA kembali pulih

Di sebalik masalah kewangan yang meruncing, Yusri Che Lah berharap pasukan kendaliannya Kelantan FA dapat mencari penyelesaian demi kelangsungan pasukan dan pemain.

Katanya, Kelantan sudah menghadapi pelbagai masalah kewangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, yang akhirnya memberi imej buruk di mata seluruh peminat Malaysia.

“Memang bukan senang untuk kita ubah persepsi itu dalam sekelip mata, tetapi sekarang tugas kita semua untuk cuba sedaya upaya menaikkan nama pasukan,” katanya.

“Macam mana pun, tugas saya sebagai jurulatih tetap berjalan dan harap pemain juga tidak hilang semangat untuk terus berjuang walau apa jua cabaran dan rintangan yang berlaku.

“Saya harap sesuatu yang baik akan menanti KAFA dan sentiasa berdoa akan ada jalan untuk mereka mengharungi setiap masalah yang ada ketika ini.

Tambah Yusri, beliau berharap semua pasukan dapat mengharungi krisis dengan tabah kerana memahami masalah kewangan ketika ini bukan sahaja menimpa Kelantan tetapi juga kepada semua pasukan di Liga Malaysia.

“Bukan Kelantan sahaja yang berdepan masalah, malah pasukan lain juga turut terkesan lebih-lebih lagi dengan wabak Covid-19 ini, cuma masing-masing kena hadapi juga dan sekiranya kerajaan meluluskan saingan diteruskan, kami tetap akan melakukan yang terbaik untuk pasukan.

“Buat pengurusan, semoga semuanya akan kembali pulih untuk KAFA tidak berputus asa cari jalan terbaik menyelesaikan apa pun kemelut yang berlaku demi pasukan Kelantan.”