Liga Premier Malaysia Berita

Menteri Wilayah mahu bantu Kelantan FA

Tan Sri Annuar Musa tetap mahu membantu pasukan yang pernah diterajuinya, Kelantan FA, meskipun telah dilantik sebagai Menteri Wilayah yang kebiasaannya menerajui Kuala Lumpur FA.

Katanya, beliau ingin membantu kerana tidak ramai yang memahami masalah yang dihadapi pasukan bolasepak ketika ini.

Kelantan sedang menghadapi masalah kewangan iaitu tunggakan gaji bekas pemain import Cassio yang berjumlah RM629,620.28 dan berdepan perintah mahkamah berkenaan tuntutan KWSP yang bernilai hampir RM1 juta.

“Saya juga tahu KAFA kini belum menerima tajaan atau pengiklan. Saya sangat memahami,” katanya kepada Arena Metro.

“Tidak ramai yang faham hakikat sulitnya kita bekerja sukarela menghidupkan persatuan bola sepak. Datuk Wan Rahim selaku presiden KAFA jemput saya jadi Ahli Lembaga Penasihat. Saya berterima kasih tetapi atas kesibukan dan masalah lain saya belum dapat menerimanya.

“Tetapi setiap tahun saya masih membantu, termasuk mencari kawan-kawan membantu, khususnya untuk membayar hutang tunggakan. Walau tanpa jawatan, sebagai anak Kelantan kita sayangi negeri kita.

“Buat masa ini saya tumpu bantu KAFA dengan tuntutan dan perintah FIFA dan mahkamah khususnya oleh EPF.”