Malaysia Berita

Tan Cheng Hoe: Pemain warisan perlu disaring secara menyeluruh

Jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe mengakui FAM perlu membuat saringan secara menyeluruh terhadap semua pemain warisan negara yang disenarai pendek setakat ini.

Katanya, terdapat beberapa faktor yang mungkin tidak diambil kira dalam proses pengambilan pemain berdarah kacukan dan perkara itu perlu diperhalusi supaya pemain warisan yang diambil benar-benar layak untuk wakili negara.

“Kemungkinan sesetengah pemain dinilai menerusi fizikal yang dimiliki tetapi disebabkan liga yang tidak kompetitif, saya rasa ia juga menjadi faktor utama,” katanya kepada Astro Arena.

“Jadi, saya rasa perlu mengenali pemain daripada setiap sudut. Kami tidak boleh terus pilih untuk mewakili skuad kebangsaan. Perlu ambil beberapa proses pemilihan dan perbincangan untuk memastikan mereka betul-betul layak untuk skuad negara.”

Ketika ini, Liridon Krasniqi sudah boleh mewakili negara manakala Guilherme de Paula sedang menunggu pengesahan.

FAM juga sedang memantau status pemain warisan Harry Edge dan Marcel Kalonda sama ada mereka layak mewakili negara.