Malaysia Berita

Azraai Khor: Apa salahnya ambil pemain warisan negara

Selepas FAM mengumumkan sedang memantau status Harry Edge dan Marcel Kalonda untuk dijadikan pemain warisan negara, timbul kritikan pelbagai pihak yang mempersoalkan tindakan tersebut.

Rata-rata menempelak FAM kerana hanya memandang bakat dari luar dan mengabaikan program pembangunan akar umbi, serta menidakkan peluang pemain tempatan mewakili negara.

Namun bagi bekas jurulatih negara, Azraai Khor, beliau beranggapan pemain naturalisasi dan warisan negara banyak membantu meningkatkan prestasi skuad kebangsaan.

“Pandangan peribadi saya, pasukan Tan Cheng Hoe banyak sangat peningkatan yang dah lama kita tak dapat tengok selama ini,” katanya kepada Arena Metro.

“Kemasukan pemain di bahagian depan yang juga naturalisasi seperti Mohamadou Sumareh dan pemain kacukan, Brendan Gan membawa dimensi berbeza.

“Jadi apa salahnya kita mencuba pula pemain pertahanan yang ada darah Malaysia. Tahap permainan, pengalaman dan kebijaksanaan dalam menangani tekanan adalah kelebihan pemain dari luar.

“Kehadiran mereka akan dapat menambah keyakinan rakan-rakan lain di atas padang ketika beraksi.”

Tambah Azraai, program naturalisasi berfungsi untuk meningkatkan lagi kualiti skuad kebangsaan supaya dapat beraksi dalam kejohanan lebih besar, bukannya bermakna pemain kacukan lebih istimewa.

“Kita asyik fikir Piala AFF dan Sukan Sea sahaja, kalau ada kombinasi pemain mantap seperti Edge dan Kalonda dan lain-lain dah boleh beri saingan di tahap lebih tinggi.”