Liga Premier Malaysia Berita

Kelantan FA janji bayar tunggakan hampir RM1 juta, yakin tidak akan digantung FIFA

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Husin Deraman, berjanji akan menyelesaikan tunggakan gaji bekas pemain import, Cassio dalam masa terdekat, seperti yang diarahkan oleh FIFA.

Katanya, tunggakan gaji berjumlah RM629,620.28 itu akan diselesaikan tanpa sebarang masalah dan yakin pasukan Pantai Timur itu tidak akan digantung oleh FIFA.

“Cassio telah menghantar tuntutan kepada peguamnya sebelum diserahkan kepada FIFA dan peguam kami sedang menelitinya,” katanya kepada Astro Arena.

“Apabila Perlis menerima tindakan daripada FIFA, ia mungkin akan dijalankan kepada Kelantan iaitu penggantungan dua jendela perpindahan.

“Disebabkan Perlis tidak lagi memiliki pasukan dalam liga, bermakna pasukan tersebut tidak boleh melakukan pendaftaran baru.

“Untuk Kelantan, tidak bermakna mereka tidak boleh bertanding. Seperti kelab di Eropah seperti Chelsea, mereka juga digantung untuk mendapatkan pemain baharu.”