Liga Super Malaysia Berita

Liga Malaysia perlu disambung semula, tapi dengan SOP yang ketat

Disebalik rasa dilema FAM dan MFL untuk meneruskan Liga Malaysia musim ini, Akmal Rizal Ahmad Rakhli berpandangan ia tidak seharusnya dibatalkan dengan sewenang-wenangnya.

Malah, penolong jurulatih Pulau Pinang itu menganggap Liga Malaysia boleh diadakan dengan selamat jika FAM dan MFL menggunakan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat dan dilakukan tanpa kehadiran penonton di stadium.

“Jika ini boleh dicadangkan, maka mungkin ada sinar harapan untuk Liga Malaysia kembali beraksi semula pada tahun ini walaupun sukar,” katanya kepada Arena Metro.

“Ini sekali gus mengelak daripada timbul isu gaji serta kontrak jutaan ringgit yang perlu dihadapi oleh persatuan negeri ataupun kelab yang mengendalikan pasukan.”

“Saya percaya, pemain dan jurulatih masih mengharapkan perlawanan Liga Malaysia dapat dijalankan pada musim ini walaupun tanpa penyokong.”

Akmal turut membidas pandangan sesetengah pihak mengenai gaji pemain, dan menganggap jika liga dibatalkan, ramai pihak yang akan hilang punca pendapatan, terutamanya yang bergaji rendah.

“Kalau diikutkan komen daripada orang ramai yang mengatakan gaji pemain tinggi, kita juga harus ingat bahawa pemain-pemain dari skuad Piala Presiden dan Piala Belia juga turut terkesan dan gaji mereka juga kecil dan bayangkan bagaimana dengan kesan pendapatan mereka yang diberhentikan sehingga menanti musim yang baharu pada tahun depan.

“Jurulatih dan pemain mencari rezeki dalam bidang bola sepak dan kalau dibatalkan terus pada tahun ini akan timbul persoalan berkaitan kontrak, gaji serta semua yang terbabit.

“Justeru, penyambungan semula Liga Malaysia adalah solusi yang ada dan mampu sekurang-kurangnya menyelamatkan kerugian besar yang terpaksa ditanggung banyak pihak dalam industri bola sepak negara.”