Liga Super Malaysia Berita

Sedarlah, pembatalan Liga Malaysia akan beri kesan besar kepada pemain

Tidak ramai yang tahu apakah perasaan pemain bolasepak ketika ini apabila Liga Malaysia ditangguhkan akibat wabak COVID-19. Dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP), ia sekaligus melarang sebarang perhimpunan besar-besaran, termasuk perlawanan bolasepak.

Walaupun PKP dibuat bagi mengurangkan kes jangkitan COVID-19, namun kesannya lebih besar daripada yang disangkakan.

Dalam bolasepak, perlawanan akan menjana pendapatan buat pasukan hasil daripada jualan tiket, dan pendapatan itu akan dikongsikan dengan pemain.

Jika tiada perlawanan, tidak akan ada pendapatan untuk pasukan dan sekaligus tidak akan ada pendapatan untuk pemain.

Sebab itu, apabila timbul desas-desus dan gesaan tidak tentu hala daripada beberapa pihak bahawa Liga Malaysia musim ini akan dibatalkan, ia menimbulkan kebimbangan besar dalam kalangan pemain.

Pemain Terengganu, D. Saarvindran mengakui dia hanya berharap Liga Malaysia dapat diteruskan pada musim ini.

“Jauh sudut hati saya mengharapkan Liga Malaysia kembali bersambung semula, biarpun beraksi dalam stadium yang kosong,” katanya kepada Arena Metro.

“Namun jika liga terpaksa dibatalkan, kami mengharapkan pihak pengurusan dapat memperhalusi sebaik-baiknya gaji pemain secara menang-menang mengikut persetujuan kedua-dua belah pihak sehingga kontrak tamat.

“Kesannya bukan sahaja kepada pemain malah impaknya juga kepada keluarga kerana kami pun memerlukan sumber kewangan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Lebih-lebih lagi bola sepak adalah satu-satunya sumber pendapatan kami, lebih parah yang mempunyai tanggungan terhadap ibu bapa.

“Lagipun kerjaya bola sepak tidak lama, jika seseorang pemain itu cedera ataupun prestasinya menurun, sudah pasti tiada tempat lagi buat mereka untuk mencari makan dalam bidang ini.”