Malaysia Berita

FAM dan MFL minta kelulusan MKN, KKM untuk sambung Liga Malaysia 2020

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mengumumkan bahawa pihaknya telah meminta kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membolehkan Liga Malaysia 2020 disambung semula selepas hampir dua bulan tertunda akibat wabak COVID-19.

Katanya, permohonan rasmi itu dibuat bagi mendapatkan nasihat, pandangan dan kelulusan untuk menggunakan Prosedur Operasi Standard (SOP) tertentu sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) yang baru sahaja dilanjutkan sehingga 12 Mei.

“FAM dan MFL sudah tentu mengutamakan aspek kesihatan negara mendahului bola sepak,” katanya selepas mengadakan mesyuarat khas dengan Menteri Belia dan Sukan, Reezal Merican Naina Merican.

“Namun sebagai badan induk bola sepak di Malaysia, kami perlu berusaha untuk mencari jalan supaya bola sepak dapat diteruskan dan sebab itulah kami mahu mendapatkan nasihat pakar daripada pihak yang bertanggungjawab.

“Apa juga arahan atau sekatan daripada KKM atau MKN, FAM terbuka sepenuhnya untuk menerimanya dan akan mematuhi segala arahan yang diberikan nanti walaupun ia membawa kepada pembatalan semua aktiviti bola sepak.”

Pada masa sama, Sekretariat Agung FAM sedang meneliti dan menganalisis semua laporan dan dokumentasi status kewangan pasukan bagi mengenal pasti kesan COVID-19 yang memaksa pasukan mengenakan pemotongan gaji pemain.

“FAM turut berkomunikasi dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi mendapatkan pandangan serta maklum balas daripada mereka sebelum membuat satu keputusan selanjutnya.”