Liga Super Malaysia Berita

RASMI: AFC tunda semua perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mengesahkan AFC telah menangguhkan kesemua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bagi bulan Mac dan Jun 2020.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas perbincangan dengan ahli-ahli gabungannya yang terlibat dan seterusnya dibawa ke FIFA.

“Satu persetujuan dicapai bagi menangguhkan perlawanan-perlawanan pada tarikh berkenaan.

“Tarikh baharu perlawanan tidak dinyatakan.

“FIFA dan AFC akan mengadakan perbincangan lanjut berhubung status perlawanan-perlawanan yang ditangguhkan sebelum memaklumkan kepada ahli-ahli gabungan yang terlibat.”

Ini bermakna penangguhan itu akan membabitkan tiga perlawanan Kumpulan G bertemu UAE yang sepatutnya berlangsung di Dubai pada 26 Mac ini serta aksi bertemu Vietnam di Bukit Jalil (31 Mac) dan bertemu Thailand di Bangkok (9 Jun).

“FAM masih sedang berusaha untuk mendapatkan pengesahan pasukan bagi mengadakan perlawanan antarabangsa pada jendela perlawanan antarabangsa FIFA bulan ini dan pihak AFC telah menetapkan bahawa sebarang permohonan perlu dihantar selewat-lewatnya pada Jumaat ini, 13 Mac.

“Bagaimanapun, isu COVID-19 yang sedang dialami di seluruh dunia ketika ini agak merumitkan kita untuk mengadakan perlawanan kerana ia membabitkan perjalanan dari satu negara ke negara yang lain.

“Sebarang maklumat terkini mengenai Perlawanan Antarabangsa bagi skuad Harimau Malaya itu akan dimaklumkan oleh FAM dalam masa terdekat ini,” kata Stuart.