Futsal Berita

Futsal: MPFL mulakan saingan 14 Mac ini

Malaysia Premier Futsal League (MPFL) iaitu MPFL 2020 bakal membuka tirai saingannya pada 14 dan 15 Mac 2020.

MPFL 2020 turut menyaksikan pertambahan jumlah pasukan iaitu daripada lapan pasukan kepada 12 pasukan yang bertanding dengan menampilkan empat pasukan baharu iaitu Sarawak, Kelantan, Negeri Sembilan dan KPM-PST Mustangs.

Naib Presiden FAM, Datuk Rosmadi Ismail selaku Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM teruja dengan musim baharu kali ini.

“Saya jangka saingan MPFL 2020 ini akan lebih kompetitif dan sengit dengan pertambahan pasukan dan jumlah perlawanan serta pengenalan kuota seorang pemain import bagi setiap pasukan yang sudah tentu akan menjadikan permainan lebih menarik.”

FAM turut mengumumkan tujuh penaja rasmi liga futsal pada musim ini.

Yoodo kekal sebagai Telekomunikasi Digital Rasmi seperti mana pada musim 2019 dan kali ini berperanan sebagai Penyiar Digital Rasmi; Joma sebagai Bola Rasmi, 100PLUS sebagai Air Minuman Rasmi manakala Astro sebagai Penyiar Rasmi.

Firefly pula dilantik sebagai Rakan Penerbangan Rasmi, Kaki Jersi sebagai Rakan Pakaian E-dagang Rasmi dan Cuckoo sebagai Rakan Penapis Air & Udara Rasmi.

“Kemeriahan edisi sulung MPFL 2019 telah membuatkan rakan-rakan penaja kita ini semuanya bersetuju untuk menyambung penajaan mereka bagi musim kedua iaitu MPFL 2020 ini. Mereka berpuas hati apabila jenama mereka turut sama dipaparkan pada setiap perlawanan MPFL 2019.

“Kami di FAM sangat berterima kasih dengan sokongan yang diberikan oleh Joma untuk terus bersama MPFL 2020. Begitu juga Yoodo yang telah meningkatkan jumlah penajaan mereka pada musim 2020 ini berbanding daripada musim lalu. Ini jelas menunjukkan bahawa mereka telah nampak yang MPFL ini mampu memberikan nilai tambah kepada produk dan jenama mereka,” kata Rosmadi.

Saingan MPFL 2020 akan menyaksikan tiga perlawanan pertama dijadual berlangsung pada Sabtu, 14 Mac 2020 dengan pendatang baharu, Negeri Sembilan bertemu Perak, naib juara musim lalu Pahang berdepan Sarawak manakala Kuala Lumpur menentang Pulau Pinang.

Sementara tiga lagi perlawanan bagi Hari Perlawanan 1 ini akan berlangsung pada Ahad, 15 Mac 2020 dengan pasukan tempat ketiga musim lalu, Terengganu bertemu Kedah, KPM-PST Mustangs berdepan Kelantan manakala juara bertahan, Selangor MAC akan menentang Kuala Lumpur City FC.

Antara gelanggang-gelanggang yang digunakan bagi MPFL 2020 ini adalah Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam; Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan; Stadium Negeri, Kuala Terengganu; IIUM Kuantan Indoor Arena, Stadium Indera Mulia, Ipoh; Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar dan Kompleks Sukan Balik Pulau, Pulau Pinang.

Saingan MPFL 2020 akan berjalan sepanjang 22 Hari Perlawanan sehingga 26 September 2020 sebelum lapan pasukan terbaik dalam saingan liga ini akan beraksi pula pada pertandingan kalah mati iaitu Piala Futsal Malaysia 2020 dari 31 Oktober hingga 12 Disember 2020.