Berita AFC Champions League

Kelayakan ACL2020: Cabaran getir buat Kedah

Kedah akan melalui cabaran yang getir apabila bakal menghadapi kelab Hong Kong, Tai Po FC di Stadium Darul Aman bagi pusingan kelayakan AFC Champions League malam ini.

Ini terutamanya apabila Shakir Hamzah tidak dapat beraksi kerana terpaksa menjalani penggantungan selepas mendapat kad merah ketika beraksi untuk kelab Singapura, Home United pada saingan separuh akhir Piala AFC 2018.

Malah pemain pertahanan Azmeer Yusof dijangka tidak akan dapat diturunkan kerana mengalami masalah kecederaan.

Bagaimanapun jurulatih Aidil Sharin tidak terlalu bimbang dengan ketiadaan dua pemain tersebut.

“Disebabkan itu, saya telah menurunkan Irfan Zakaria, Alif Yusof, Zulkhairi Zulkeply dan Loqman Hakim ketika pra-musim di Kemboja baru-baru ini. Jadi kami akan bermain dengan barisan pemain yang ada,” katanya dalam sidang media.

“Kita jangka ia akan jadi perlawanan yang sukar. Kedua-dua pasukan mahukan kemenangan, kelebihan kita hanyalah bermain di laman sendiri tetapi tidak bermakna ia akan jadi perlawanan mudah.

“Kekuatan kita adalah semangat berpasukan, kita mengharapkan keserasian yang diperoleh ketika sesi pra-musim dapat membantu pasukan beraksi dengan baik.”

Penyerang import baharu Kedah, Kpah Sherman dilihat teruja apabila bakal beraksi buat pertama kali sebagai pemain Kedah.

“Ini adalah tahun pertama saya di Kedah dan keserasian dalam pasukan ini amat mengagumkan. Dengan kelebihan ini, banyak kejayaan yang boleh dikecapi.

Pemain berusia 27 tahun itu juga tidak terlalu memikirkan kekuatan pihak lawan, sebaliknya menaruh kepercayaan kepada rakan sepasukan untuk menampilkan aksi terbaik malam ini.

“Saya sangat yakin. Dalam bola sepak, kita tidak boleh pandang rendah pihak lawan, tetapi saya mempunyai keyakinan terhadap pemain, barisan kejurulatihan dan peminat juga. Kami mahu peminat datang dan menyokong kami kerana seluruh pasukan akan berjuang habis-habisan. Kami memerlukan sokongan peminat.”

Sementara itu, jurulatih Davor Berber berkata pasukannya telah mengkaji kekuatan Kedah dan tidak berasa terancam dengan kelebihan yang dimiliki oleh pasukan tuan rumah.

“Kedah adalah kelab besar di Malaysia dan kami juga sebuah kelab besar di Hong Kong, kami tidak takut apa-apa, kami tahu stadium akan penuh tetapi ia akan memberi kami lebih banyak keseronokan untuk bermain dan menunjukkan kualiti bola sepak Hong Kong.

“Sasaran kami adalah untuk menunjukkan apa yang kami boleh lakukan, kami berharap kami akan menjadi pasukan yang akan meraikan kemenangan nanti.”

Pemenang pusingan kelayakan ini akan menentang FC Seoul pada 28 Januari.