Malaysia Berita

FAM: Pampasan RM8,000 untuk pemain AMD tidak sesuai

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menganggap nilai pampasan bermula serendah USD2,000 (RM8,280) seperti yang ditetapkan FIFA tidak sesuai dikenakan ke atas pemain Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

“Jumlah ditetapkan FIFA itu mungkin bersesuaian untuk akademi yang tidak mengeluarkan kos terlalu besar tetapi di AMD kos yang dibelanjakan amat tinggi jadi mungkin kita boleh naikkan sedikit Pampasan Latihan itu,” katanya kepada Bernama.

“Bila kos tinggi kita perlu buat sesuatu untuk tampung balik kos dikeluarkan. Ia bukan langkah untuk membuat untung tetapi kita perlu liputi kos untuk melabur semula wang untuk mengeluarkan lebih banyak pemain berbakat.”

Stuart juga tidak bersetuju dengan pandangan sesetengah pihak yang enggan membayar pampasan kerana AMD diwujudkan bagi melahirkan lebih ramai pemain berbakat menerusi akademi, sesuatu yang tidak dilakukan oleh pasukan liga.

“Kalau semua 14 negeri ada sistem seperti AMD, kita tak payah ada AMD. Kita membuat satu perkara baik yang memudahkan semua pihak.

“Dunia bola sepak sedang berubah dan pampasan latihan itu kita hanya ikut kaedah yang diperkenalkan FIFA.”

Dalam pada itu, Stuart mengesahkan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) akan didaftarkan secara rasmi di bawah FAM bermula tahun hadapan.