Malaysia Berita

Tan Cheng Hoe mahu dua perlawanan persahabatan menentang negara Arab

Jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe dilaporkan mahu FAM mengadakan dua perlawanan persahabatan menentang negara dari Asia Barat, sebagai persiapan untuk perlawanan menentang UAE pada Mac depan.

Menurut laporan dari Bernama, perkara itu didedahkan oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi bagi memastikan skuad Harimau Malaya berada dalam landasan terbaik untuk layak ke Piala Asia 2023.

“Idea Tan Cheng Hoe adalah untuk mengadakan perlawanan di rantau itu supaya barisan pemain lebih bersedia dari segenap aspek bila berlawan dengan UAE. Fokus kita adalah macam mana untuk mempersiapkan pasukan kita berdepan dua perlawanan bulan Mac depan.

“Kalau satu perlawanan tidak cukup, jurulatih mahukan dua, kita akan beri dua perlawanan.”

Malaysia bakal menghadapi UAE di Dubai pada 26 Mac dan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 31 Mac tahun depan

Skuad Harimau Malaya ketika ini mengumpul 9 mata selepas mengharungi lima perlawanan.

UAE yang berada di kedudukan keempat dalam kumpulan G dengan enam mata memiliki kelebihan satu perlawanan sementara pendahulu Vietnam dengan 11 mata diikuti Thailand dengan lapan mata dan Indonesia berada di tempat terakhir.

Mohd Yusoff berkata pasukan kebangsaan perlu mendapatkan sekurang-kurangnya empat mata daripada dua perlawanan dengan tiga mata perlu diraih ketika menentang Vietnam untuk mencerahkan peluang layak secara automatik ke Piala Asia 2023.

“Empat mata akan meletakkan kita berada dalam kelompok empat pasukan terbaik di kedudukan kedua. Kalau kita berjaya melakukan sesuatu di Bangkok Jun depan, ia satu bonus. Ini sasaran kita.”