Liga Super Malaysia Berita

Walaupun beraksi di Liga Premier, Kelantan FA perlukan RM6 juta untuk musim 2020

Kelantan FA masih dibelenggu dengan masalah tunggakan hutang, dan disebabkan itu mereka memerlukan sehingga RM6 juta untuk beroperasi bagi musim 2020.

Menurut laporan Bernama, Datuk Wan Rakemi Wan Zahari merupakan ketua pegawai eksekutif kepada After Image Sdn Bhd, sebuah syarikat yang akan membantu menguruskan kewangan The Red Warriors.

“Syarikat After Image Sdn Bhd merupakan rakan kongsi Team Red Warriors Sdn Bhd dan akan cuba menyelesaikan semua tunggakan hutang membabitkan pemain dan pengurusan yang ditanggung KAFA, secepat mungkin.

“Kami menyasarkan penajaan yang sederhana dan tidak berbelanja seperti pasukan lain. Setakat ini sudah ada beberapa syarikat yang menyatakan persetujuan untuk menjadi penaja KAFA.”

Selain penajaan, KAFA juga menyasarkan sumber kewangan hasil jualan tiket daripada perlawanan persahabatan yang telah dirangka oleh badan itu sehingga sepak mula berlangsung pada 28 Feb depan.

Presiden KAFA Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah menjelaskan bahawa syarikat yang menguruskan pasukan Kelantan kali ini akan dikendalikan oleh Team Red Warriors Sdn Bhd dan bukan The Red Warriors Sdn Bhd.

“Fasa pertama penajaan akan bermula pada pramusim, fasa kedua ketika sepak mula berlangsung dan fasa ketiga ketika sesi pertukaran pemain pada April hingga Mei depan.”

Dari soal sasaran pasukan, Timbalan Presiden Datuk Seri Afandi Hamzah berkata perlu kembali beraksi dalam saingan Liga Super memandangkan hanya perlu menewaskan enam pasukan pada musim depan.

“Sasaran itu difikirkan sesuai selepas empat ‘feeder club’ kekal dalam liga dan kami yakin mampu berada dalam ranking tertinggi saingan itu musim depan.”