Barcelona berjaya melayakkan diri ke pusingan seterusnya dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah selepas menumpaskan pasukan dari Jerman, Borussia Dortmund 3-1 pada awal pagi tadi.
Ketua Jurulatih Barcelona, Ernesto Valverde yang dikritik hebat sebelum ini membuktikan kredibiliti beliau dengan memberikan kemenangan kepada pasukan. Taktikalnya yang meletakkan gandingan trio Lionel Messi, Luis Suarez, dan Antoine Griezmann sekali lagi membuahkan hasil apabila ketiga-tiga pemain itu menyumbat satu gol dalam perlawanan tersebut.
Group F:
Clinched! 💪 pic.twitter.com/6d4r5pHxQi
— FC Barcelona (@FCBarcelona) November 27, 2019
Sebelum ini, Lionel Messi juga dikritik kerana gagal bergandingan dengan baik bersama pendatang baru dari Atletico Madrid, Antoine Griezmann. Namun, persembahan yang dipamerkan kedua-dua pemain itu pada awal pagi tadi membuktikan segala kritikan yang dilemparkan itu tidak benar.
Trio Messi, Suarez, Griezmann (MSG) berpotensi untuk mencabar trio Liverpool (Salah, Mane, Firmino) yang mendominasi aksi Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara Eropah sejak beberapa musim lepas.
Ini bukan kali pertama ketiga-tiga pemain ini mencatat nama sebagai penjaring dalam satu perlawanan kerana sebelum ini mereka pernah berbuat demikian pada aksi La Liga Sepanyol menentang Eibar. Secara keseluruhan, Messi kini telah menjaringkan lapan gol dalam La Liga Sepanyol, manakala Suarez dan Griezmann masing-masing dengan tujuh dan empat jaringan.
Barcelona masih belum mencatat sebarang kekalahan dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah dan kini mengungguli kumpulan F dengan pungutan 11 mata selepas lima perlawanan.