Kolum Eropah

Liverpool bermentaliti Juara

Pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool semakin selesa menerajui puncak liga dengan berkelebihan lapan mata di depan pencabar terdekat, Leicester City. Kemenangan tipis 2-1 yang diperolehi hujung minggu lepas ketika aksi menentang Crystal Palace membuktikan anak buah Jurgen Klopp jelas bersedia untuk merangkul kejuaraan liga.

(Photo by John Powell/Liverpool FC via Getty Images)

Rekod The Kop masih bersih daripada sebarang kekalahan selepas mengharungi 13 perlawanan. Walaupun turun ke Stadium Selhurst Park tanpa Mohamed Salah dalam kesebelasan utama, tetapi kelibat pemain yang menggantikan tempat Salah, Alex Oxlade Chamberlain perlu diberi pujian.

Bekas pemain Arsenal itu menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dalam beberapa perlawanan sebelum ini dan berjaya menambat hati Klopp untuk diletakkan sebagai pemain utama. Gol jaringan Roberto Firmino pada lewat babak kedua sekaligus memadamkan gol penyamaan Wilfried Zaha. Terdahulu, Sadio Mane memberikan gol pendahuluan buat Liverpool pada awal separuh masa pertama.

Kelibat pemain antarabangsa Senegal, Sadio Mane pada musim ini dilihat menjadi kunci kepada Liverpool atas peranan yang dimainkan. Berdasarkan statistik, Mane menjaringkan gol dalam tujuh perlawanan daripada 13 penampilan liga. Keberadaan bekas pemain Southampton ini begitu membantu barisan serangan Liverpool.

Malah, mentaliti juara juga telah ditanam dalam setiap pemain Liverpool. Buktinya, mereka mampu memperoleh gol pada minit akhir perlawanan untuk mencuri tiga mata dalam lima perlawanan sebelum ini. Namun begitu, Klopp perlu memperbaiki rekod bolos pasukannya yang jelas berbeza dengan musim lepas. 

Selepas 13 perlawanan, Liverpool hanya mampu mencipta dua rekod tanpas bolos. Rekod tersebut dicipta ketika ketiadaan penjaga gol utama, Alisson Becker yang mengalami kecederaan dan digantikan oleh Adrian. Sekembalinya Alisson ke dalam skuad utama masih tidak mengubah apa-apa.

(Photo by John Powell/Liverpool FC via Getty Images)

Secara keseluruhan, Liverpool berpeluang menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris sekiranya mengekalkan rentak permainan seperti yang dipamerkan pada ketika ini. Kali terakhir Liverpool memenangi Liga Perdana Inggeris adalah pada musim 1989-1990 di bawah kendalian Sir Kenny Dalglish.