Kolum Eropah

[VIDEO] Benzema wira tidak didendang

Real Madrid terus memberi tekanan kepada pencabar La Liga Sepanyol, Barcelona selepas menumbangkan Real Sociedad 3-1 pada Ahad lepas. Real Madrid kini berkongsi mata bersama Barcelona di tangga teratas liga selepas 13 perlawanan.

Karim Benzema sekali lagi memainkan watak penting dalam membantu pasukan terus unggul mengutip tiga mata penuh dalam saingan liga. Namun, Real Sociedad mengejutkan Real Madrid selaku tuan rumah apabila membuka tirai jaringan seawal mini kedua perlawanan menerusi jaringan Willian Jose.

Kelibat Karim Benzema selaku pemain berpengalaman begitu membantu pasukan bimbingan Zinedine Zidane apabila menjaringkan gol penyamaan sebelum berakhir babak pertama. Dua gol lagi disumbangkan oleh Federico Valverde dan Luka Modric pada separuh masa kedua.

Pemain sayap Wales, Gareth Bale yang mencentuskan kontroversi pada minggu lepas diturunkan sebagai pemain gantian dalam perlawanan tersebut walaupun dikaitkan dengan desas-desus yang mengatakan dia akan meninggalkan pasukan Los Blancos pada musim hadapan.

Zidane lebih selesa menggunakan trio serangkai Karim Benzema, Eden Hazard, dan Rodrygo dalam merencana serangan. Kembalinya beberapa arkitek penting di jentera tengah seperti Luka Modric dan Toni Kroos juga melegakan Zidane yang sebelum ini terpaksa berharap kepada kudrat pemain muda.

Seterusnya, misi balas dendam Real Madrid keatas Paris Saint Germain (PSG) bagi saingan Liga Juara-Juara Eropah awal pagi esok. Sebelum ini, PSG berjaya menumbangkan Real Madrid 3-0 pada perlawanan pembukaan kumpulan A Liga Juara-Juara Eropah. 

Kedua-dua pasukan dilihat berada dalam prestasi yang terbaik dengan para pemain menunjukkan persembahan positif dalam setiap perlawanan. PSG yang selesa mendahului Ligue 1 Perancis dengan berkelebihan lapan mata di depan pencabar terdekat, Olympique Marseille. 

Real Madrid perlu mengawasi barisan serangan anak buah Thomas Tuchel yang dikemudi trio Angel Di Maria, Mauro Icardi, dan Neymar yang semakin berpotensi menimbulkan kekacauan pada barisan pertahanan. Tambahan pula, kudrat pemain lain seperti Kylian Mbappe dan Edinson Cavani juga mampu mengucar-kacirkan benteng pertahanan Real Madrid.