Kolum Eropah

[VIDEO] Juventus unggul tanpa Ronaldo

Pendahulu Liga Serie A Itali, Juventus meneruskan momentum rekod tanpa kalah selepas membenam Atalanta 3-1 pada hujung minggu lalu. Ianya bukan perlawanan mudah buat skuad bimbingan Maurizio Sarri yang terpaksa berhempas pulas untuk bangkit daripada ketinggalan 1-0.

Juventus bertandang sebagai pasukan pelawat tanpa kelibat bintang Portugal, Cristiano Ronaldo yang terpaksa diketepikan ekoran kecederaan yang dialami ketika aksi perlawanan antarabangsa minggu lepas. 

Sarri menggunakan taktikal 4-3-1-2 dengan memberi kepercayaan kepada duo Argentina, Gonzalo Higuain dan Paulo Dybala. Pada perlawanan sebelum ini, Ronaldo digandingkan bersama Higuain di barisan serangan. Tetapi ketiadaan penyerang sensasi dunia memaksa Sarri menurunkan duo Argentina itu.

Hasilnya, kedua-dua pemain berjaya meletakkan nama dalam senarai penjaring. Dua gol sumbangan Higuain dan satu daripada Dybala membolehkan Juventus memungut tiga mata penuh dalam aksi yang penuh debaran.

Kemenangan tersebut meletakkan Juventus selesa di tangga teratas liga dengan pungutan 35 mata, satu mata di hadapan pencabar terdekat Inter Milan. Pasukan yang berpangkalan di Turin ini masih belum mencatat sebarang kekalahan sepanjang 13 perlawanan yang telah berlangsung.

Tugasan berat menanti Juventus yang akan melayan kunjungan pasukan bimbingan Diego Simeone pada awal pagi esok. Atletico Madrid masih bergelut dalam saingan liga dan kehilangan sentuhan pemain muda berbakat, Joao Felix yang masih belum pulih daripada kecederaan.

Sebelum ini, kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada aksi pembukaan kumpulan D saingan Liga Juara-Juara Eropah pada September lepas.