Malaysia Berita

Malaysia diikat Myanmar pada perlawanan pembukaan Sukan Sea

Skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee sekadar mencatat keputusan seri 1-1 pada perlawanan pembukaan kumpulan A kejohanan Sukan SEA petang semalam.

Kesebelasan utama yang diturunkan oleh Datuk Ong Kim Swee dilihat seolah-olah mampu membawa sinar kepada pasukan. Tujuh pemain skuad senior seperti Akhyar Rashid, Danial Amier, Dominic Tan, Adam Nor Azlin, Haziq Nadzli, Syahmi Safari, dan Syamer Kutty menjadi taruhan.

Permulaan hambar skuad B-22 negara ini dihukum Myanmar pada minit ke-12 apabila sepakan penjuru pertama Myanmar ditanduk masuk Kyaw Soe Moe. Malaysia gagal mendapatkan rentak perlawanan dan dilihat seperti hilang punca diawal permainan.

Malaysia berjaya menyamakan kedudukan menerusi tandukan Hadi Fayyadh pada minit ke-23 selepas menerima hantaran lintang Akhyar Rashid daripada sebelah kanan pintu gol pasukan Myanmar.

Asakkan bertali arus anak buah Datuk Ong Kim Swee terus dilancarkan dan hampir memperoleh gol kedua namun tandukan Hadi Fayyadh terkena palang gol. Satu lagi peluang keemasan buat Malaysia selepas sepakan percuma cantik Adam Nor Azlin sekali lagi singgah ke palang gol pasukan lawan.

Faktor keserasian diantara pemain menjadi penyebab utama kegagalan skuad Harimau Muda untuk mengutip tiga mata penuh. Seperti yang diketahui, skuad Sukan SEA ini merangkumi pemain-pemain daripada skuad senior, skuad B-22, dan skuad B-19. Oleh yang demikian, Malaysia perlu pantas dalam menyesuaikan diri sebagai persiapan untuk perlawanan kedua menentang pasukan tuan rumah, Filipina pada Jumaat ini.