Liga Super Malaysia Berita

KLFA: Kembalikan semula hak pengurusan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur

Presiden KLFA, Khalid Abdul Samad tampil memohon Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), selaku pemilik Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras supaya mengembalikan semula hak pengurusan stadium itu kepadanya.

Katanya, desakan itu dibuat setelah sebuah syarikat swasta yang sepatutnya bertanggungjawab menguruskan stadium tersebut gagal menangani pelbagai masalah berkaitan padang dan aspek pencahayaan terutama ketika saingan Piala AFC bulan lalu.

“Kita hadapi kesukaran apabila didapati penyelenggaraan stadium tidak seperti yang diinginkan pada saat akhir,” kata Khalid kepada Harian Metro.

“Kita mendapat laporan bahawa padang dalam keadaan tidak memuaskan dan lampu limpah tidak mencapai piawaian ditetapkan.

“Kita terpaksa bawa roller sendiri untuk menyiapkan padang walaupun padang bukan bawah jagaan KLFA. Stadium ini sudah dipajak kepada satu syarikat swasta yang dahulu kononnya mahu jadi rakan kongsi KL City FC namun tidak berjaya.

“Mereka tidak menjalankan penyelenggaraan seperti yang sepatutnya dan kita yang terpaksa membaikinya walaupun tidak 100 peratus berada dalam keadaan yang memuaskan.

“Perlawanan Piala AFC di sini sepatutnya menjadi kebanggaan namun kita bertindak dengan cepat dan berjaya menyelamatkan satu keadaan yang berpotensi untuk memalukan negara.”

Justeru, beliau meminta DBKL mengambil alih semula hak pengurusan stadium itu dengan segera.

“Kita mahukan stadium dijaga dengan baik dan mencapai kualiti yang menepati standard.

“Kita harap pajakan itu dapat dikaji semula dan DBKL melihat persoalan ini kerana pihak yang menjaga stadium ketika ini tiada kepentingan dan bukan pasukan bola sepak.

“Mereka hanya berniaga dan tidak mengambil berat terhadap persoalan ini, jadi kita ada banyak masalah.

“Kita harapkan DBKL dapat melihat perkara ini dan sama ada diuruskan oleh DBKL sendiri ataupun pada KLFA, lebih baik pada KL City FC.”

“Jadi kita mohon supaya pihak DBKL ambil balik pengurusan stadium ini ataupun kalau nak serah kepada pihak lain, boleh serahkan kepada KLFA seperti yang sepatutnya, jadi biar kita yang jaga.”

Pada saingan Piala AFC baru-baru ini, skuad City Boys muncul naib juara kumpulan sekali gus layak ke separuh akhir zon ASEAN selepas menewaskan kelab Singapura, Tampines Rovers 2-1 dalam aksi terakhir kumpulan H di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.