Eropah Berita

[VIDEO] Pochettino dipecat

Mauricio Pochettino dipecat oleh Tottenham Hotspur pada awal pagi tadi. Satu pengumuman rasmi telah disiarkan melalui laman web rasmi Tottenham Hotspur dengan menyatakan bahawa khidmat Pochettino ditamatkan serta merta.

Turut bersama-sama mengikut jejak langkah Pochettino adalah tiga staf jurulatih iaitu Jesus Perez, Miguel D’Agostino, dan Antoni Jimenez. 

Pengerusi pasukan, Daniel Levy berkata keputusan yang diambil oleh Lembaga pasukan bukanlah mudah dan ianya mengambil kira beberapa faktor termasuk prestasi semasa pasukan yang agak mengecewakan.

Levy percaya Spurs memiliki barisan pemain yang berbakat dan perlu memberikan sesuatu yang positif kepada para penyokong.

Mauricio Pochettino mula menyertai Spurs dari Southampton pada tahun 2014. Pengendali dari Argentina ini berjaya membawa Spurs ke final Liga Juara-Juara Eropah musim lepas tetapi kecundang ditangan Liverpool. Ianya merupakan pencapaian terbaik buat pasukan utara london dibawah kendalian Pochettino sepanjang lima musim.

(Photo by Matthew Lewis – UEFA/UEFA via Getty Images)

Disamping itu, Pochettino juga memainkan peranan penting dalam membentuk pasukan yang memiliki beberapa pemain berkualiti seperti Harry Kane, Harry Winks, Kieran Trippier, Dele Alli, dan Heung Min Son.

Permulaan goyah yang dipamerkan skuad bimbingannya diawal musim ini sedikit sebanyak menyumbang kepada punca dia dipecat. Spurs hanya mencatat tiga kemenangan daripada 12 perlawanan dan kini menghuni tangga ke-14 Liga Perdana Inggeris. Malah Spurs juga telah dimalukan oleh Colchester United apabila kecundang pada pusingan ketiga Piala Carabao menerusi sepakan penalti.

Spurs dijangka akan menerima Ketua Jurulatih yang baru dalam masa terdekat.