Malaysia Kolum

Malam gemilang Safawi

Johor Darul Ta’zim (JDT) mudah menewaskan Kedah 3-0 dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2019 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

Pemain sayap JDT, Safawi Rasid yang dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan ternyata mempunyai kualiti yang tersendiri. Selepas aksi cemerlangnya yang membantu JDT membenam Selangor 3-0 di Shah Alam, semalam Safawi sekali lagi mempamerkan persembahan luar biasa dengan menjaringkan gol sepakan percuma cantik yang membantu skuad Harimau Selatan membenam Kedah.

‘Alhamdulillah, hasrat saya tercapai. Bukan mudah untuk berjaya dalam kem JDT tanpa usaha. Jadi, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan’, katanya ketika ditanya mengenai perasaan selepas dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan.

Menurut pemain kebangsaan ini lagi, kemudahan yang disediakan di kem JDT juga banyak membantunya untuk cergas dalam masa singkat serta percaya pada rezeki buat dirinya sendiri.

Safawi juga muncul sebagai penjaring terbanyak Piala Malaysia 2019 dengan jumlah jaringan sebanyak 11 gol. Pencapaian Safawi juga memecahkan dominasi penyerang import yang sebelum ini merangkul gelaran penjaring terbanyak dalam saingan Piala Malaysia. 

Anak muda kelahiran Terengganu ini adalah pemain tempatan yang pertama menjadi penjaring terbanyak Piala Malaysia sejak Hairuddin Omar yang menjaringkan lapan gol untuk pasukan Negeri Sembilan pada tahun 2011.