Eropah

Juventus diikat

Juventus diikat 2-2 oleh Atletico Madrid pada saingan kumpulan D Liga Juara-Juara Eropah yang berlangsung awal pagi tadi.

Walaubagaimanapun, gol hanya muncul pada separuh masa kedua yang menyaksikan pasukan yang berpangkalan di Turin itu mendahului tuan rumah dengan satu jaringan cantik yang dihasilkan oleh pemain antarabangsa Colombia, Juan Cuadrado. Rembatan kaki kiri Cuadrado menuju masuk ke penjuru kanan gawang gol menewaskan penjaga gol, Jan Oblak.

Asakan berganda terus dilancarkan Juventus dan berjaya membuahkan hasil selepas Blaise Matuidi mudah menanduk masuk hantaran lintang Alex Sandro. Ketinggalan dua gol tidak menghalang Atletico Madrid untuk terus membuat serangan. Pertahanan tengah Atletico, Stefan Savic menanduk masuk dalam usaha untuk merapatkan jurang gol pada minit ke-70. 

Gol penyamaan muncul pada minit ke-90 selepas Hector Herrera menanduk masuk hasil sepakan penjuru bekas pemain Tottenham Hotspur, Kieran Trippier. Skuad Diego Simeone hampir ditewaskan apabila gerakan solo Cristiano Ronaldo yang melepasi empat pemain lawan sebelum melepaskan satu rembatan kencang yang sedikit tersasar.

Evening Standard

Keputusan seri ini bermakan kedua-dua pasukan sekadar berkongsi satu mata pada perlawanan pembukaan kumpulan D. Dalam satu lagi perlawanan kumpulan D, wakil kelab Russia, Lokomotiv Moscow menang tipis 2-1 keatas Bayer Leverkusen.