Malaysia Berita

Jangan lupa jasa TMJ

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr. Johan Kamal Hamidon berharap jasa mantan Pengerusi Malaysian Football League (MFL), DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim dalam memartabatkan Liga Malaysia tidak dilupakan semua pihak.

Menurutnya, terdapat banyak kemajuan dalam arena liga bola sepak tempatan ketika di era Tunku Ismail dan semua pihak tidak boleh menafikan impak yang dicetuskan dalam saingan Liga Malaysia.

Justeru, beliau mengharapkan segala gerak kerja Tunku Ismail akan diteruskan oleh Datuk Haji Hamidin Hj. Mohd Amin dan yakin pengaruh yang dimiliki Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu akan membawa MFL ke mercu lebih tinggi.

“Pada era Tunku Ismail, sememangnya kita tidak boleh nafikan kemajuan yang berlaku pada beberapa tahun lalu yang sangat penting dalam persada Liga Malaysia.

“Saya rasa jasa yang dibawa Tunku Ismail perlu dilihat semua pihak kerana banyak perubahan dalam memperkasakan nilai Liga Malaysia dan bola sepak kita khususnya.

“Tanpa Tunku Ismail, bola sepak kita tidak sampai seperti hari ini yang jelas sudah banyak perbezaan dan pelantikan Datuk Hamidin tepat pada masanya memandangkan beliau sudah bekerjasama begitu lama dengan Tunku Ismail serta mampu meneruskan kelangsungan yang sedang dikecapi, ” katanya.

Antara beberapa perubahan diambil Tunku Ismail ketika bergelar Pengerusi MFL ialah hak penyiaran ditingkatkan kepada semua pasukan yang bertanding di Liga Super dan Liga Premier selain peningkatan siaran langsung perlawanan sebanyak 295 perlawanan daripada 66 perlawanan sahaja pada tahun 2016.

Selain itu, Tunku Ismail turut bertanggungjawab memastikan pelesenan kelab diperkasakan, pengenalan Blueprint 50 tahun MFL- Next50 dan penglibatan banyak penaja bersama Liga Malaysia.

Hamidin dipilih menjadi Presiden MFL pada Sabtu lalu di Mesyuarat Rakan Kongsi Liga 2019 menerusi undian Ahli Lembaga Pengarah yang menyaksikan status jawatan pengerusi ditukar kepada presiden dengan calon untuk menduduki kerusi tertinggi itu adalah di kalangan Ahli Lembaga Pengarah MFL serta tidak terikat dengan mana-mana pasukan atau kelab Liga Malaysia.

Selain itu, Johan menggesa semua rakan kongsi liga agar bersama-sama berganding bahu membantu MFL dalam memperkukuhkan penjenamaan Liga Malaysia.

Tambahnya, mereka tidak boleh meletakkan beban sepenuhnya kepada MFL semata-mata kerana tanggungjawab memperkukuh pasukan terletak di dalam tangan pengurusan setiap pasukan.

“Tanggungjawab untuk mengembangkan Liga Malaysia bukan terletak dalam tangan MFL sahaja walaupun mereka yang mengetuai tetapi itu tidak bermakna semua pasukan boleh lepas tangan sahaja.

“Kita semua rakan kongsi kena bergerak sekali dan cuba menjana kewangan sebanyak yang mungkin antara satu sama lain dan saya rasa susunan yang dibuat secara komersial dengan memberikan 75 peratus nilai hak penyiaran kepada tiap pasukan, ia sudah memadai.

“Saya berharap selepas ini kita harap akan ada perbincangan yang lebih aktif dan terbuka dengan MFL dengan pasukan-pasukan lain agar lebih banyak input dapat diberikan antara semua pihak untuk memastikan kita boleh bergerak ke arah yang sama,” katanya