Malaysia Futsal

Liga Premier Futsal Malaysia dapat tajaan empat syarikat

Saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2019 bakal dimeriahkan lagi dengan empat syarikat tampil sebagai rakan penaja rasmi.

Kejohanan yang diadakan julung kali diadakan pada tahun ini bakal menerima tajaan daripada syarikat telekomunikasi mudah alih digital, Yoodo selain Joma selaku penaja bola rasmi perlawanan, ASTRO sebagai penyiaran rasmi perlawanan terpilih dan 100PLUS.

Perkara itu telah dijelaskan oleh Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Rosmadi Ismail yang menyatakan perasaan gembira dengan penglibatan empat syarikat terbabit.

Beliau juga melahirkan rasa terima kasih kepada Yoodo, Joma, Astro dan 100PLUS kerasa sudi menjadi penaja sulung bagi kejohanan terbabit.

“Apa yang pasti, nama anda akan tercatat dalam sejarah futsal negara kerana bersama FAM dalam penganjuran edisi pertama pertandingan futsal kebangsaan secara profesional di Malaysia.

“Sudah tentu saya teruja melihat MPFL berjaya mendapat sokongan penajaan ketika bahang sepak mulanya kian dirasai yang mana saingan akan bermula hujung minggu ini.

“Dengan kehadiran penaja, saya yakin saingan kali ini akan dapat menarik minat pengikut sukan futsal di Malaysia untuk hadir memeriahkan venue perlawanan sekali gus memberi semangat kepada pemain,” katanya.