Liga Super Malaysia

PJBSM tidak mahu jurulatih digantung terlalu lama

Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBSM) akan mengusulkan cadangan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mengubah undang-undang sedia ada supaya tiada lagi jurulatih digantung terlalu lama kerana kesalahan tertentu.

Presiden PJBSM, B Sathianathan, berkata pihaknya akan mengadakan mesyuarat minggu depan untuk membincangkan cadangan itu sebelum diusulkan kepada badan induk terbabit. Usul itu turut merangkumi cadangan supaya jurulatih yang didapati bersalah hanya dikenakan denda dan bukan penggantungan sehingga boleh menjejaskan masa depan mereka.

“Kita hanya mahu minta FAM ubah undang-undang mengikut perspektif seorang jurulatih. Memang jurulatih bertanggungjawab dengan kenyataan mereka, tapi sepatutnya mereka hanya dikenakan denda,” kata Sathia kepada berita harian.

“Kalau di Eropah, jurulatih tidak digantung sampai satu atau dua tahun kerana penggantungan itu akan memberi kesan kepada kontrak, sekali gus menyebabkan mereka tidak boleh bekerja dan hilang mata pencarian.”

“Bila kontrak batal, mana mereka nak dapat mata pencarian untuk tanggung keluarga? Kita kena lihat perkara ini dan cadangan yang kita akan buat ini juga melalui FAM serta mengikut prosedur,” katanya.

Baru-baru ini jurulatih Pahang, Dollah Salleh dihukum oleh FAM dengan penggantungan selama 18 bulan berserta denda RM30,000 kerana didakwa mengeluarkan kenyataan yang tidak dibenarkan oleh badan induk itu.

Menerusi cadangan sama, Sathianathan juga menjelaskan, pihaknya akan mengusulkan supaya denda yang dikenakan berdasarkan gaji jurulatih itu dan bukannya menerusi kadar yang ditetapkan FAM.

“Denda juga tidak boleh dengan kadar tertentu contohnya RM30,000 atau RM60,000. Mungkin denda itu boleh dikenakan untuk dua atau tiga bulan gaji.

“Ia disebabkan sesetengah jurulatih bergaji rendah dan ada yang bergaji tinggi. Apapun, ini semua cadangan saja dan kita tak tahu sama ada akan diterima atau tidak,” katanya.

Buat rayuan

Sathianathan turut mengesahkan jurulatih Pahang itu belum menghubungi PJBSM untuk mendapat bantuan terhadap rayuan yang akan dibuat. Rayuan yang dibuat itu mungkin akan mengurangkan tempoh penggantungannya selama sembilan bulan tidak boleh terbabit dengan aktiviti bola sepak bawah kelolaan FAM.

“(Dollah) belum berhubung dengan kami, tapi saya difahamkan dia sudah berjumpa dengan Tunku Ismail Sultan Ibrahim (Presiden FAM).

“Jadi, saya fikir dia akan buat rayuan terus kepada FAM. Apapun kita minta dia buat rayuan.”

“Mungkin FAM akan buat pertimbangan dan kurangkan penggantungan dia, jangan Dollah tidak membuat rayuan pula,” katanya.

sumber: Berita Harian