Luar Negara

Rakan sepasukan mahu Neymar kekal dan tidak berhijrah ke pasukan lain

Bintang Brazil, Neymar kini menerima tawaran lumayan untuk menyertai kelab gergasi Perancis, Paris Saint-Germain minggu lalu. Rakan sepasukan yang juga pemain tengah, Ivan Rakitic berkata, pemain Barcelona faham dengan dilema yang sedang dialamioleh  Neymar dan sedia menghormati apa saja keputusan dibuat oleh bintang Brazil itu berhubung masa depannya.

Menurut ESPN FC,  Neymar menerima tawaran lumayan untuk bermain di Paris Saint-Germain dan awal minggu ini, Gerard Pique mengesahkan pemain Barca sedang cuba memujuknya supaya tidak berpindah.

“Ya,” kata Rakitic kepada wartawan di Universiti Barry di Miami ketika ditanya sama ada dia faham dengan kedudukan Neymar.

“Ia keputusan yang sukar dan kami semua memahaminya. Kami mahukan dia terus kekal tetapi itu saja yang boleh kami lakukan. Kami faham dan menghormati keputusannya. Saya harap dia mempunyai pandangan sama dengan kami. Dia tahu apa yang ada dalam kepala kami. Dia memainkan peranan penting di dalam bilik persalinan, salah seorang anggota keluarga kami dan kami mahu dia kekal.”

Ditanya sama ada Neymar mungkin melakukan kesilapan dengan berpindah ke Paris, Rakitic menambah: “Dia lebih tahu segala-galanya.”

“Apa saja keputusannya, kami akan terima. Sebagai kawan dan rakan sepasukan, saya sudah nasihatkan supaya kekal. Dia tidak akan merasai suasana sama di tempat lain. Saya harap dia kekal tetapi kami akan menyokongnya tidak kira apa juga keputusan yang diambil.”

Jika Neymar mahu berpindah, PSG perlu membayar sebanyak €222 juta (RM1.11 bilion) untuk melengkapkan perjanjian tetapi laporan di Perancis menyebut kelab Ligue 1 itu mahu mengadakan perbincangan bagi mengurangkan jumlah berkenaan.

Neymar yang menjaringkan gol tunggal ketika mengalahkan Manchester United baru-baru ini, dilihat masih lagi menjalani latihan bersama Barca di Miami kelmarin.

Dari Miami, dia akan ke China dan tidak pulang ke Sepanyol bersama rakan sepasukannya yang lain bagi memenuhi komitmen peribadi dan penajanya.