Piala FA Malaysia Berita

Shopee Piala FA : Perak ghairah benam PKNP FC

Biarpun berjaya menumpaskan pasukan PKNP FC empat gol tanpa balas dalam saingan Liga Super pada 27 April lalu, Perak perlu mencari gol awal untuk membenam pasukan yang dianggap ‘adik’ pada pertemuan suku akhir kedua di Stadium Perak, Sabtu ini.

Perak bukanlah pasukan yang dianggap calang-calang oleh lawan dan kawan. Mereka mempunyai potensi untuk mengejutkan setiap pasukan yang bertandang ke Stadium Perak apabila semangat mereka bukan sahaj dibantu oleh para jurulatih tetapi para penyokong yang hadir.

Tetapi, keputusan pertama suku akhir yang berlangsung pada 30 April lalu di Stadium Majlis Perbandaran Manjung apabila kedua-dua pasukan terikat seri tanpa jaringan akan memberi kelebihan kepada PKNP. Peraturan gol ditempat lawan bakal digunakan dengan baik oleh PKNP bagi memburu gol awal perlawanan.

Justeru, Perak perlu memberi persembahan yang baik serta fokus pada setiap gerakan lawan agar episod duka tahun lalu tidak berulang lagi apabila tersingkir pada peringkat yang sama dengan PKNS.

Shahrul Saad, ketua pasukan Perak ketika ditemuramah media berkata, “untuk aksi di Ipoh, kami kena `all-out’ bagi membolehkan kemenangan dicatatkan di tempat sendiri, kena bagi 100 peratus jika mahu layak ke separuh akhir.

“Dijangka corak permainan kedua-dua pasukan akan berubah, kita tidak tahu apa pula strategi akan digunakan pasukan lawan, pastinya tidak sama seperti perlawanan pertama apabila PKNP menggunakan strategi `man to man marking’,” katanya kepada BH Sukan.

Kegagalan menjaringkan gol pada perlawanan pertama adalah disebabkan Perak perlu bertemu dengan pasukan yang sama dalam tempoh tiga hari selepas mereka membenam PKNP dalam aski Liga Super, kata Shahrul.

“Sebenarnya, pada perlawanan pertama hari itu kami mempunyai banyak peluang tetapi tidak dapat menghasilkan gol, jadi kali ini perlu lebih fokus untuk menghasilkan gol,” katanya.

Bagi jurulatih Perak, Mehmet Durakovic pastinya punya ramuan yang jelas untuk menundukkan pasukan lawan.

Tetapi beliau mahu para pemain sentiasa beringat dan tidak menganggap bahawa perlawanan ini mudah.

“Semua pemain mahu layak ke separuh akhir tetapi kami sentiasa waspada dengan PKNP selepas perlawanan pertama yang mudah dengan pasukan itu, kami menghadapi kesukaran pada perlawanan kedua, jadi pertembungan kali ketiga ini pastinya turut sukar,” katanya kepada BH Sukan.