Luar Negara Berita

Kelekaan Ajax bantu Spurs mara ke pentas akhir

Apabila segala-galanya berakhir, hampir tujuh, lapan atau mungkin sembilan pemain Ajax berada di atas padang sambil menutup wajah mereka menyembah bumi.

Pada ketika itu, semua tertanya-tanya bagaimana Spurs mampu melakukannya dan pada saat itu kita akan sentiasa beringat tentang kehebatan sukan ini, tentang bagaimana bola sepak mampu jadi sekejam ini dan bagaimana kisah-kisah ini telah membuakkan keghairahan kita.

Kita sebelum ini telah dihidang dengan jamuan sahur yang begitu dramatik semalam apabila Barcelona ditendang keluar oleh Liverpool selepas gagal menahan kebangkitan mereka di Anfield.

Manakala sekali lagi hari ini, juadah sahur kita diteruskan lagi dengan kenikmatan apabila Lucas Moura berjaya meledak hatrik bagi memimpin pasukannya ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara pada 1 Jun nanti di Madrid.

(Photo by Chris Brunskill/Fantasista/Getty Images)

Ia adalah suatu kejadian yang jarang terjadi bagi setiap pemain Spurs, tambahan pula kebanyakkan orang telah meramal bahawa Ajax akan mudah melangkah ke pentas akhir apabila mereka sebelum ini telah menundukkan juara bertahan Real Madrid dan kemudian mengenepikan Juventus yang diketuai oleh pemain terbaik dunia, Cristiano Ronaldo.

Ia adalah salah satu perlawanan yang dramatik apabila Ajax sudah mendahului dengan selesa menerusi Matthijs De Ligt seawal minit ke lima dan Hakim Ziyech menambah luka Spurs pada minit ke-35. Semua penonton seolah-olah sudah bersorak bahawa aksi akhir di Madrid bakal menjadi milik mereka tetapi datang satu sosok kelahiran Brazil yang telah menumbangkan impian para pemain Ajax di hadapan penyokong sendiri.

Prestasi para pemain

Hugo Lloris : Aksi baik dalam menyelamat beberapa cubaab Tadic dan Ziyech tetapi gagal menampan kemas tandukan De Ligt sehingga memberi lawan gol pendahuluan yang selesa. 7/10

Kieran Trippier : Gagal bermula dengan baik apabila kesilapan beliau menyebabkan De Ligt menjaringkan gol tetapi menunjukkan keberanian untuk terus membantu pasukan. 5/10

Toby Alderweireld : Ditewaskan dengan mudah oleh Tadic tetapi berjaya bangkit bagi mengimbangi persembahan beliau. 8/10

Jan Vertonghen : Tidak mudah apabila perlu bermain dengan topeng di muka. Hampir menjaringkan gol tetapi terkena tiang. 7/10

Danny Rose : Menunjukkan semangat tidak putus asa untuk terus membantu Spurs biarpun ketinggalan. Berjaya mengelecek De Ligt. 8/10

Moussa Sissoko : Berjaya mengucar kacirkan bahagian tengah Ajax dengan beberapa gerakan beliau dan mendatangkan masalah kepada pertahanan Ajax. 7/10

Victor Wanyama : Gagal beraksi dengan baik apabila diperlukan. Dikeluarkan pada separuh masa. 4/10

Christian Eriksen : Persefaham yang baik dengan Dele Alli. Sepatutnya menjaringkan gol pertama. 7/10

Dele Alli : Nadi kepada gerakan serangan Spurs yang membuahkan gol, terutama pada jaringan pertama dan ketiga. 8/10

Son Heung-min : Meletakkan pertahanan Ajax dalam keadaan yang tidak bersedia dengan kelajuan dan kepantasan yang dimiliki oleh beliau. 8/10

Lucas Moura : Datang dan hidup dengan harapan. Menjadi wira kepada seluruh penyokong Spurs untuk terus percaya bahawa mereka mampu untuk melangkah lebih jauh. Bertindak cemerlang apabila diperlukan, di mana Lucas telah mengisi tempat yang kosong ditinggalkan Harry Kane. 9/10