Pengendali PDRM FA, E. Elavarasan ingin bawa ramuan berbeza bagi aksi pusingan ketiga Shopee Piala FA 2019 berdepan PKNP FC yang dianggap bakal beri laluan berliku kepada anak buahnya untuk mara ke suku akhir.
Jelas Elavarasan, PKNP kini dalam kedudukan selesa hadapi perlawanan pada Rabu selepas mendapat tonik terbaik dengan empat kemenangan berturut-turut dalam saingan Liga Super setakat ini dan pastinya akan beri tentangan sengit kepada PDRM.
Bekas jurulatih PKNS FC itu menganggap masih banyak yang perlu diperbaiki selepas kehadirannya dalam pasukan sejak bulan lalu beri motivasi baharu kepada pemain untuk beri aksi konsisten dengan dua kemenangan ketika ini.
Malah, Elavarasan akui dia perlu hadir dengan percaturan lebih berkualiti dan berbeza berbanding dengan apa yang dilakukan pasukan ketika menentang Sarawak dan Kelantan minggu lalu.
“PKNP FC ketika ini sedang selesa dengan 4 kemenangan berturut-turut dan mereka juga pastinya tidak akan beri laluan mudah kepada kita (PDRM FA).
“Apa yang kita ada sekarang, kita akan gunakan sepenuhnya untuk menentang mereka (PKNP FC) dan saya akan melihat semula strategi yang lebih baik untuk diterapkan kepada pemain bagi cuba mendapatkan slot ke suku akhir nanti.
“Masih banyak lagi yang perlu diperbaiki sebenarnya dan saya enggan cepat selesa walaupun ada yang melihat kehadiran saya sudah beri impak positif kepasa pasukan”, katanya.
Untuk rekod, sejak kehadiran Elavarasa, PDRM kembali memperbaiki prestasi dengan dua kemenangan dan satu seri (termasuk Shopee Piala FA) selepas kemarau kemenangan dalam tujuh perlawanan.
Kapten pasukan, Shahurain Abu Samah pula enggan rakan sepasukan gementar dengan pasukan Liga Super itu yang sememangnya memiliki peluang lebih besar di atas kertas untuk mara ke suku akhir.
Dia percaya percaturan yang akan dibawa oleh Elavarasan mampu merentap semangat skuad kendalian Abu Bakar Fadzim itu untuk PDRM lakar kejutan di Stadium Majlis Perbandaran Manjung.
“Kita akan lawan habis-habisan tidak kira pasukan itu daripada saingan Liga Super atau sebaliknya kerana paling penting adalah aksi di atas padang, bukan rekod pencapaian di atas kertas.
“Saya tahu PKNP FC menjadi pasukan pilihan untuk layak ke suku akhir, tetapi itu tidak bermakna kami akan putus asa untuk memberi tentangan sengit kepada mereka”, katanya.