Malaysia Berita

Azzuddin Ahmad tinggalkan AFF

Datuk Seri Azzuddin Ahmad melepaskan jawatannya selaku Setiausaha Agung Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) yang ketiga.

Perkara ini diumumkan melalui satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak AFF sendiri selepas Kongres AFF ke-29 di Siem Reap, Kemboja, bulan lalu.

Dalam kenyataan tersebut, AFF berkata Azzuddin Ahmad telah berkhidmat bersama badan induk bola sepak ASEAN selama hampir tujuh tahun setelah mengambil alih tugas tersebut daripada Datuk Seri Paul Mony Samuel pada 2013.

“Tempoh khidmat saya bersama AFF adalah pengalaman yang hebat. Saya akan sentiasa mengingati kenangan manis bersama AFF. Pada masa ini, AFF berada dalam kedudukan lebih baik, terima kasih atas sumbangan pelbagai pihak.

“Saya mampu berkhidmat dalam memantapkan AFF dengan bimbingan Majlis AFF, selaras dengan matlamat Persekutuan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Majlis AFF dan juga pihak Sekretariat atas sokongan mereka dan menjadikan saya sebahagian daripada organisasi yang menarik ini,” kata Azzuddin kepada Berita Harian.