Liga Super Malaysia Berita

FELDA United akui sukar halang kemaraan JDT

FELDA United FC bakal bertemu juara lima kali Liga Super, Johor Darul Ta’zim di Stadium Tan Sri Hassan Yunos pada perlawanan liga kelapan musim ini.

Bagi pengendali FELDA United, Mohd Nidzam Jamil menegaskan misi sukar bagi anak buahnya untuk mengutip tiga mata penuh pada perlawanan malam ini.

Justeru, beliau mengharapkan persembahan yang baik daripada anak buahnya bagi menghalang kemaraan skuad Harimau Selatan.

Bercakap kepada Berita Harian, “saya akui jika dibandingkan barisan pemain The Fighters dengan JDT musim ini, kekuatan dan kelebihan sememangnya menjadi milik pasukan tuan rumah.

“JDT bukan saja berada pada kedudukan terbaik, malah mereka memiliki senarai pemain kebangsaan dan berpengalaman.

“Namun, kami tidak boleh membenarkan lawan menguasai perlawanan jika mahu mengelak dikecewakan,” katanya.

Beliau turut mengharapkan anak buahnya kekal fokus untuk 90 minit perlawanan.

“Saya harap mereka tidak memberi banyak ruang kepada lawan dan pada masa sama berusaha untuk memberi tekanan ke kubu lawan,” katanya.