Malaysia Berita

Perlis Digesa Selesaikan Tunggakan Gaji Pemain

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Izham Ismail mempersoalkan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA). Ia berikutan selepas persatuan daripada utara itu mengumumkan isu tunggakan gaji yang membelengu persatuan itu dianggap sudah selesai.

“Selagi bayaran akhir belum dibuat, isu tunggakan gaji ini tidak boleh dianggap sudah selesai. Jadi PFAM menggesa agar PFA benar-benar serius dalam isu hutang ini disebalik keghairahan menandatangani nama-nama besar bagi saingan musim hadapan.

“Tidak mustahil, jika PFA terus menerus mengabaikan tanggungjawab ini, pemain-pemain baharu akan menjadi mangsa seterusnya,” katanya menerusi kenyataan media.

PFAM juga turun menuntut agar kesemua pasukan agar menyelesaikan isu tunggakan gaji sebelum menandatangani pemain baru bagi aksi Liga Malaysia (Liga-M) musim hadapan.

“PFAM melihat pasukan yang berhutang masih lagi tidak mengambil apa-apa inisiatif untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain namun ironinya sangat rancak dalam menandatangani pemain baru termasuklah pemain import bagi saingan musim hadapan.

“PFAM juga ingin menggesa pihak FAM untuk segera mengeluarkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib kerana kelewatan dalam menentukan keputusan ini akan memberi kesan besar kepada pemain apabila pasukan terus terlepas dari dikenakan hukuman sebelum saingan musim baru bermula,” katanya.