Malaysia Berita

Sathianathan Harap Tan Cheng Hoe Kekal Bimbing Harimau Malaya

Presiden Persatuan Jurulatih Bolsepak Malaysia (PJBM), B. Sathianathan menyatakan tidak ada sebab untuk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk tidak melanjutkan kontrak pengendali negara, Tan Cheng Hoe selepas aksi cemerlang membawa pasukan negara ke pentas final meskipun tewas.

Bagi beliau, falsafah yang diterapkan oleh Cheng Hoe untuk pasukan negara telah membawa perubahan besar kepada corak permainan Harimau Malaya.

“Sejak Cheng Hoe mengambil alih skuad kebangsaan, anda sendiri dapat saksikan perubahan besar khususnya corak permainan dan walaupun tewas di tangan Vietnam, saya lihat ia satu persembahan yang memberangsangkan.

“Dengan falsafah bola sepak yang sudah diterapkan dan corak permainan yang lebih baik, sudah tentu Cheng Hoe seharusnya dikekalkan supaya dapat meneruskan kesinambungan terhadap apa yang sudah dilakukannya setakat ini.

“Pencapaiannya juga lebih baik berbanding jurulatih asing sebelum ini. Memang Cheng Hoe individu paling tepat untuk mengendalikan skuad Harimau Malaya,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.