Malaysia Berita

Nasib Tan Cheng Hoe Akan Diketahui Dalam Masa Terdekat

Nasib pengendali negara, Tan Cheng Hoe yang berjaya membawa pasukan negara sehingga ke perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018 namun tewas secara agregat 2-3 kepada Vietnam tiga hari lalu bakal ditentukan apabila Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan (JPPK) bersidang. 

Mesyuarat itu bakal dipengerusikan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Himidin Mohd Amin serta bakal menentukan nasib Tan Cheng Hoe selepas kontrak beliau bersama dengan pasukan negara bakal tamat pada hujung bulan ini. 

Hanya Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan (JPPK) yang akan menentukan nasib Tan Cheng Hoe sama ada kekal sebagai jurulatih Harimau Malaya atau tidak.

Kontrak pengendali itu bakal tamat hujung bulan ini dan bekas jurulatih Kedah berkenaan nampaknya masih perlu bersabar sehingga jawatankuasa yang dipengerusikan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin bersidang dalam masa terdekat.

Bagi Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menyatakan bahawa Tan Cheng Hoe mempunyai rekod yang baik bersama skuad negara. Biarpun tewas pada perlawanan akhir, Cheng Hoe berjaya membawa pasukan negara memenuhi misi yang telah ditetapkan pihak FAM apabila layak ke pentas final. 

“Satu mesyuarat JPPK akan diadakan sebelum hujung tahun ini di mana prestasi keseluruhan Cheng Hoe dan semua barisan kejurulatihan di bawah beliau akan dibincangkan.

“Saya fikir FAM akan meneliti sepenuhnya persembahan Harimau Malaya dan bukan sahaja melihat kepada kejayaan membawa pasukan ke final Piala AFF. Tapi, sudah semestinya ia (mara ke final Piala AFF) satu kelebihan kepada cheng Hoe.

“Pandangan daripada semua pihak akan diambil kira kerana kadang-kadang setiap individu berlainan pendapat. Tapi kalau bagi saya, beliau berjaya memberikan jenama baharu buat bola sepak Malaysia dan seluruh negara juga berbangga.

“Saya rasa falsafah bola sepak kebangsaan bermula dengan pasukan sekarang dan itu adalah salah satu jenama bola sepak yang kita mahu serapkan di semua tahap pembangunan yang kita buat.” kata Stuart kepada Berita Harian.

Cheng Hoe yang telah membawa Kedah memenangi pelbagai gelaran memulakan karier beliau sebagai penolong ketua jurulatih di bawah kendalian Nelo Vingada. Beliau kemudian mengambil alih tempat Nelo selepas beberapa aksi buruk skuad negara yang menyaksikan beliau melepaskan jawatan sebagai ketua jurulatih.

Skuad Harimau Malaya bakal berhadapan kejohanan kelayakkan Piala Dunia 2022 dan kelayakan Piala Asia 2023 tahun hadapan dengan FAM bakal merangka beberapa siri perlawanan persahabatan pada Mac tahun depan.

“Sekarang masa untuk kita melihat ke pasukan luar ASEAN, tapi kita perlu mendapatkan kualiti dengan aksi persahabatan sebagai persediaan untuk menghadapi kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia.

“Kita memiliki ramai pemain muda selain dibantu pemain senior dan saya harap mereka dapat menggunakan pengalaman di Piala AFF untuk bergerak ke tahap lebih baik.

“Kita juga sedang melihat beberapa pasukan termasuk di Asia Barat dan Timur Tengah, tapi apa pun kita perlu bincang dengan jurulatih untuk membuat keputusan pasukan mana yang lebih sesuai.” kata Stuart kepada Berita Harian.