Malaysia Berita

Piala AFF Suzuki 2018 : Aidil Jumpa Kelemahan Vietnam

Pertahanan negara, Aidil Zafuan yang dilaporkan sudah pulih daripada kecederaan bagi menghadapi Vietnam pada perlawanan akhir kedua di Stadium My Dinh, Hanoi esok mempunyai ramuan sendiri bagi mencari kelemahan pasukan Golden Dragon.

Beliau yang cedera ketika bertemu Thailand bakal kembali memperkuatkan bahagian pertahanan negara bersama-sama dengan Syahmi Safari dan Syazwan Andik.

Pemain berpengalaman negara ini menyatakan bahawa kelemahan yang paling jelas pada skuad kendalian Park Hang-seo ialah mereka gagal membaca hantaran dan ia boleh digunakan bagi misi mencari gol awal.

“Saya lihat mereka (Vietnam) sukar membaca bola hantaran lintang dan kami gunakan kelemahan itu untuk meraih gol.

“Kita dapat lihat di Bukit Jalil, mereka agak goyah dengan situasi bola mati seperti sepakan sudut atau sepakan percuma dari sebelah tepi.

“Ini kesempatan terbaik untuk kami menjaringkan gol menerusi tandukan dan ia sudah dibuktikan oleh Shahrul Saad apabila menanduk masuk untuk gol pertama.

“Ketika mereka menentang Filipina, juga dapat dilihat pemain Vietnam gagal menghalang jaringan menerusi sepakan sudut yang ditanduk oleh pemain tinggi lampai Filipina.

“Jadi mana-mana pemain termasuk saya akan berusaha mencuba mencari gol menerusi tandukan kerana itu antara peluang terbaik kita,” katanya kepada Sukan NSTP.

Sekembalinya Aidil bersama-sama dengan pemain lain daripada pergantungan dan juga kecederaan pasti menjadi suntikan semangat buat skuad negara selepas beberapa aksi goyah yang dipamerkan oleh pertahanan negara.

Gandingan Shahrul Saad dan Aidil Zafuan adalah antara gandingan terbaik dalam mempertahankan gawang gol negara daripada dibolos menjelang perlawanan Malaysia bertemu Vietnam di Hanoi.