Malaysia Berita

Faiz Sangkal Dakwaan Gaji

Pemain baru pasukan The Red Giants, Mohd Faiz Nasir menafikan dakwaan yang beliau memilih untuk mewakili Selangor dan menolak tawaran Melaka United (MU) pada musim hadapan adalah disebabkan faktor gaji lumayan.

“Itu pandangan peminat atau pengkritik, saya tidak boleh halang, tetapi saya tegaskan bukan soal tawaran lumayan yang diterima daripada skuad juara 33 kali Piala Malaysia itu membuatkan saya tidak memilih MU.

“Ini mungkin rezeki saya bersama Selangor, lagipun saya sudah berunding secara baik dengan pengurusan Melaka berhubung perkara itu dan berharap isu ini tidak diperbesarkan,” katanya.

Beliau yang baru diumumkan sebagai pemain baharu skuad The Red Giants adalah tonggak penting yang membawa bekas pasukan beliau Terengganu FC (TFC) ke pentas akhir Piala Malaysia musim lepas sebelum tewas ditangan Perak.

Faiz yang bakal menyarung jersi Selangor berharap agar rezeki beliau untuk menjulang Piala Malaysia dapat dikecapi bersama Selangor selepas gagal berbuat demikian ketika bersama TFC.

“Selepas gagal mendakap trofi Piala Malaysia bersama TFC, saya harap rezeki saya tiba musim depan lebih-lebih lagi skuad itu ada auranya yang tersendiri,” kata Faiz yang mengikat kontrak selama setahun bersama skuad itu.