Malaysia Berita

FAM Siasat Lebihan Penonton

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Facebook rasmi FAM menyatakan akan membuat siasatan ke atas lebihan penonton yang masuk ke dalam Stadium Nasional Bukit Jalil.

Stadium yang berkapasiti sebanyak 85,000 penonton itu bagaimanapun melimpah selepas dimaklumkan bahawa jumlah penonton yang hadir pada malam tersebut adalah 87,141.

Ia menimbulkan pelbagai kecaman keselamatan daripada penonton yang hadir dan khuatir perkara yang tidak diingini berlaku.

“Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah pun berbincang dan akan bekerjasama dengan IPD Cheras mengenai dakwaan kebanjiran penyokong melebihi kapasiti ketika Final 1 Piala Suzuki AFF 2018, Malaysia menentang Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

“Tindakan ini susulan daripada pelbagai spekulasi di media sosial berhubung kebanjiran penyokong melebihi kapasiti yang bukan saja mencemarkan reputasi FAM tetapi turut mengancam keselamatan penyokong.

“Justeru, FAM mengambil maklum perkara ini dan akan memastikan insiden ini tidak akan berulang pada masa akan datang.

“Tindakan akan diambil berdasarkan spekulasi yang ditimbulkan di media sosial berhubung kelebihan kapasiti yang bukan saja merosakkan reputasi FAM tetapi mengancam keselamatan penonton.” kata kenyataan tersebut.

Selain daripada itu, beliau tidak menafikan bahawa beberapa penyokong mendapat tiket daripada sumber lain  selepas dilaporkan penyokong Vietnam melimpah dan tidak mempunyai tempat duduk walaupun Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) hanya meminta 3,500 tiket sahaja.

“6,000 meliputi kerusi atas dan bawah namun mereka hanya meminta sebanyak 3,500 tiket jadi bahagian atas dibuka untuk penyokong tempatan.

“Tapi berdasarkan kepada kepadatan jumlah penonton malam semalam ia nyata melebihi jumlah sepatutnya dan perkara itu akan disiasat dari mana tiket tambahan itu datang,” kata Stuart kepada Berita Harian.