Malaysia Berita

Azamuddin Mahu Balas Kepercayaan Kedah

Azamuddin Akil, bekas pemain sayap Johor Darul Ta’zim mengesahkan bahawa beliau akan bermain dengan skuad Lang Merah pada aksi Liga Super musim hadapan.

Beliau yang berumur 33 tahun menjelaskan bahawa segala perbincangan sudah mencapai kata sepakat dan berterima kasih kepada Persatuan Bolasepak Kedah kerana masih percaya dengan kemampuan beliau.

“Sebaik dimaklumkan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) tidak melanjutkan kontrak bersama Selangor, saya membuat keputusan untuk bersama Kedah.

“Saya bersyukur impian tercapai selepas mengadakan perbincangan bersama pengurusan tertinggi KFA, termasuk ketua jurulatih (Aidil Sharin).

“Dengan kepercayaan diberikan KFA, saya akan berusaha untuk memberikan komitmen tinggi dalam usaha membantu Kedah meraih kejayaan membanggakan musim hadapan,” katanya.

Mengulas lanjut tentang prestasi beliau, Azamuddin menyatakan bahawa kecederaan sedikit sebanyak merencatkan permainan beliau pada musim lepas dan berjanji akan mengembalikan prestasi terbaik beliau.

“Tetapi, saya percaya dengan sokongan daripada rakan sepasukan, saya sedia untuk mengembalikan prestasi terbaik seperti bersama Pahang dan Johor Darul Ta’zim (JDT),” katanya.