Piala Dunia 2018 Kajian & Analisis

Analisis: Colombia kejutkan Poland, sedia untuk bertemu Senegal dalam aksi Kumpulan H

Colombia melakukan kejutan ke atas Poland dengan mengalahkan mereka 3-0 di Kazan Arena. Terdahulu kedua-dua pasukan tewas pada aksi pembukaan masing-masing kepada Senegal dan Jepun.

Namun hari ini, Colombia lebih bersemangat untuk menang seterusnya membuka peluang buat mereka untuk mara ke peringkat seterusnya. Tiga gol Colombia dijaringkan oleh Y. Mina, Radamel Falcao dan Juan Cuadrado.

Perlawanan seterusnya, Colombia akan menghadapi Senegal untuk aksi terakhir Kumpulan H.

Berikut adalah beberapa pemerhatian kami sepanjang perlawanan tersebut:

Falcao kurang efektif

Persembahan penyerang utama Colombia ini tidak begitu memberangsangkan. Semasa pasukannya melakukan serangan, bola yang dihantar kepada beliau kadangkala tidak ditampan dengan baik. Begitu juga dengan hantaran yang dilakukan beliau tidak tepat kepada rakan-rakan. Bola lorongan kepada beliau juga kadang-kala tidak disambut baik olehnya. Namun begitu, beliau telah berjaya untuk menjaringkan 1 gol pada minit ke-70.

Kesilapan mudah Szczesny

Ketika minit ke-40 beliau dilihat lambat bertindak untuk menumbuk keluar bola. Y. Mina terlebih awal untuk menanduk masuk bola tersebut untuk memberikan Colombia gol pendahuluan.Kesilapan yang dilakukan Szczesny lebih kepada kesilapan mudah yang tidak patut dilakukan oleh penjaga gol kebangsaan yang bermain di Piala Dunia.

Serangan Poland tidak kreatif

Awal permainan Poland dilhat begitu agresif untuk mengancam kubu Colombia. Namun perkara tersebut tidak bertahan lama, serangan mereka dilihat kurang bermaya terutamanya dalam separuh masa kedua. Mereka tidak begitu kreatif, dan serangan mereka mudah dipatahkan oleh pertahanan Colombia.

‘High defensive line’ Poland memakan diri

2 gol daripada pasukan Colombia adalah disebabkan kedudukan barisan pertahanan yang jauh daripada pintu gol mereka. Cuadrado mudah melakukan larian untuk melorongkan bola kepada Falcao dan juga menjaringkan gol ketiga Colombia. Jelas mereka tidak dapat mengekang kemaraan pemain Colombia yang pantas seperti Cuadrado dan juga James Rodriguez.

James Rodriguez & David Ospina cemerlang

James Rodriguez menjadi kesebelasan utama pada hari ini. Diletakkan di posisi sayap kiri, beliau tampil memberi kelainan untuk pasukan berbanding ketika beliau tidak diturunkan aksi lalu. Kehadirannya mampu untuk merancang serangan terutamanya pada kawasan ‘final third’. Beliau juga memberikan satu ‘assist’ yang cantik kepada Cuadrado untuk gol ketiga Colombia. Manakala Ospina pula hebat mengawal pintu golnya seterusnya memberikan Colombia ‘clean sheet’ pada hari ini. Beliau tampil menafikan beberapa percubaan tepat lawan termasuk rembatan dekat Robert Lewandowski.