Luar Negara Piala Dunia 2018

Dibelasah 6-1, jurulatih Panama takut dengan England

Jurulatih Panama, Hernan Dario Gomez mengakui beliau berasa gerun apabila pasukan bimbingannya dibelasah England 6-1 dalam pertembungan Kumpulan G Piala Dunia semalam.

Itu merupakan keputusan paling berat sebelah di Piala Dunia setakat ini.

Kekalahan itu menyaksikan England layak ke pusingan seterusnya, menyingkirkan ‘budak baru’ Panama dan memberi mereka pengajaran berguna selepas kalah 3-0 kepada Belgium.

“Mereka sangat tepat, sungguh bagus menjaringkan gol, mereka amat praktikal, England adalah pasukan yang cantik,” kata Gomez, dengan cepat mengakui jurang antara kedua-dua pasukan.

“Saya merasakan jumlah jaringan England mungkin boleh jadi lebih banyak. Kita sebenarnya boleh bolos lebih banyak gol.

“Kami cuba memberi saingan kepada England tetapi jelas terdapat perbezaan yang besar antara kedua-dua pasukan, bolos lima gol pada separuh masa pertama adalah satu perkara yang sukar untuk diterima, kami berasa agak ketakutan dengan perbezaan kualiti kedua-dua pasukan,” katanya.

Gomez sempat mengucapkan tahniah kepada Gareth Southgate pada waktu rehat sebelum kembali ke separuh masa kedua dan memberi jaminan bahawa Panama akan bermain lebih tenang selepas mereka kembali mengawal emosi masing-masing.

“Apa yang kami cuba lakukan selepas itu adalah untuk mengelakkan malapetaka yang lebih besar.

“Kami berjaya memegang bola lebih sedikit pada separuh masa kedua dan kami terus bermain dengan sangat teratur.

“Kalau tidak, kita mungkin akan bolos lebih daripada enam gol.

“Bolos lima gol pada separuh masa pertama adalah terlalu melampau dan saya berkata kepada pembantu saya ketika waktu rehat ‘Saya mula merasa takut.’ Apa yang boleh kita lakukan pada masa itu adalah untuk mencuba dan menghentikan England daripada menjaringkan lebih banyak gol,” katanya.

Mengulas mengenai gol saguhati Panama yang dijaringkan Felipe Baloy pada separuh masa kedua, Gomez menganggap gol tersebut sebagai satu pengalaman berharga buat Baloy.

“Felipe Baloy akan bersara dari pasukan kebangsaan dan Tuhan memberinya kesempatan untuk menjaringkan gol itu setelah banyak berjasa dalam bola sepak.

“Beliau seorang yang profesional. Apabila kita baru pertama kali di Piala Dunia, menjaringkan gol ketika beraksi memberi makna yang tidak terhingga,” katanya.-Reuters