Luar Negara Piala Dunia 2018

Semua pemain simpanan Jepun adalah penyerang, kata Akira Nishino

Jurulatih Jepun, Akira Nishino menganggap semua pemain simpanannya adalah penyerang dan mempunyai misi untuk menjaringkan gol apabila dibawa masuk ke separuh masa kedua sama seperti apa yang dilakukan Keisuke Honda ketika 2-2 menentang Senegal, malam tadi.

Walaupun dua kali ketinggalan, Nishino seboleh-bolehnya mahu pasukannya mencatatkan kemenangan sekali gus layak ke pusingan kalah mati.

Ini boleh dilihat apabila Nishino, yang telah menjanjikan falsafah bola sepak menyerang sejak mengambil alih pada bulan April, menggantikan tiga pemainnya dengan pemain penyerang.

Ia berhasil apabila salah seorang daripadanya, Honda, menjaringkan gol penyamaan yang menjadikan kedudukan 2-2 hanya enam minit selepas dibawa masuk.

Pada masa yang sama, penjaring gol terbanyak Jepun, Shinji Okazaki juga dibawa masuk.

Tidak cukup dengan itu, beliau juga membawa masuk Takashi Usami di penghujung waktu permainan.

“Sudah tentu kami mahu menang ketika perlawanan berlangsung pada separuh masa kedua,” kata Nishino kepada wartawan.

“Selepas dua kali menyamakan kedudukan, saya meletakkan Usami, saya boleh sahaja meletakkan pemain pertahanan tetapi saya meletakkan pemain penyerang dan kami memperoleh satu mata.

“Semua pengganti adalah penyerang, saya percaya saya menggunakannya dengan baik dari segi masa, dan ketiga-tiga mereka adalah penyerang dan penyumbang mata,” katanya.

Honda, yang menjadi pemain Jepun pertama menjaringkan gol di tiga Piala Dunia, kini jauh berkelana di liga Mexico, tetapi beliau membuktikan sekali lagi bahawa beliau masih bernilai untuk negara kelahirannya.

Nishino turut memuji keupayaan Honda untuk bermain dalam pelbagai posisi.

“Honda dipindahkan dari bahagian tengah ke bahagian sayap dan beliau sangat serba boleh dalam menyesuaikan diri dengan kedudukan itu,” jelas Nishino.

“Saya benar-benar mahu menang, kami mahu mendahului walaupun masa semakin singkat,” katanya.

Keputusan itu meletakkan Jepun dan Senegal di puncak Kumpulan H.

“Saya menilainya sebagai keputusan yang baik,” kata Nishino.

“Senegal adalah pasukan yang sangat sukar dan hasil ini, saya harap, akan membawa kepada kejayaan dalam perlawanan seterusnya,” katanya.-Reuters