Malaysia Berita

Piala AFF Suzuki 2018 : Kita Juga Pasukan Terbaik Di Asia Tenggara – Syamer Kutty

Pemain tengah negara mengakui yang beliau tidak tertekan apabila mengetahui akan bertemu Thailand pada perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Pemain berusia 21 tahun ini kerap digunakan Tan Cheng Hoe untuk bekerjasama dengan Akram Mahinan dalam mengetuai bahagian tengah negara.

Anak kelahiran Pulau Pinang ini memberitahu media bahawa beliau tidak nampak apa-apa perbezaan diantara pemain pasukan Thailand dengan pasukan negara dan percaya pemain Harimau Malaya yang sedia ada ini layak digelar antara yang terbaik di Asia Tenggara serta mampu untuk mengejutkan pasukan Gajah Perang itu. 

“Saya tidak tertekan sebab saya percaya setiap pemain di atas padang adalah sama saja. Apa yang penting ialah kita perlu perbaiki kesilapan dan lakukan yang terbaik.

“Insya-Allah kalau ada rezeki kita boleh menang. Bagi saya kami perlu melakukan sejarah baharu.

“Jadi, kita perlu ubah (mentaliti) yang kita juga boleh mencatatkan kemenangan sebab Malaysia juga antara yang terbaik di rantau Asia Tenggara.

“Untuk saya di bahagian tengah, kami perlu kurangkan kesilapan dan cuba menguasai bola bagi membolehkan kami mencipta lebih banyak peluang,” katanya kepada Berita Harian.

Beliau juga memberitahu media bahawa Tan Cheng Hoe pasti mempunyai ramuan tersendiri bagi menjinakkan pasukan Thailand.

“Saya rasa jurulatih sudah buat persediaan apa yang perlu dilakukan apabila bertemu dengan Thailand.

“Jadi apa saja yang jurulatih arahkan kami akan cuba lakukan di atas padang.

“Saya perlu perbaiki prestasi permainan dalam setiap perlawanan dan harap ia dapat diteruskan pada aksi separuh akhir nanti,” katanya kepada Berita Harian.