Malaysia Berita

Piala AFF Suzuki 2018 : Kehadiran Penyokong Beri Motivasi Tinggi, Ada Bayangan Kesebelasan Utama

Pengendali pasukan negara, Tan Cheng Hoe berasa teruja dengan sokongan daripada peminat Harimau Malaya menjelang sepak mula separuh akhir Piala AFF Suzuki 2018, Sabtu ini.

Dengan 80,000 keping tiket habis dijual, Tan Cheng Hoe mengakui ia adalah petanda positif dan bakal menaikkan lagi motivasi pemain negara yang bakal beraksi bertemu Thailand nanti.

“Saya rasa motivasi pemain cukup tinggi bermula lawan Myanmar. Saya sebagai rakyat Malaysia cukup bangga dengan suasana dan sambutan yang diberikan peminat terhadap pasukan kebangsaan.

“Malah, sokongan peminat penting buat kami dalam menaikkan motivasi pemain. Rata-rata pemain juga masih muda dan masa depan mereka masih panjang,” katanya kepada Berita Harian.

Skuad negara dalam misi mencari kemenangan bagi membawa bekalan yang baik apabila bertandang ke Stadium Rajamangala, Bangkok pada 5 Disember nanti.

Beliau yang merangkap sebagai penolong jurulatih kepada Datuk K. Rajagopal ketika Malaysia memenangi Piala AFF Suzuki edisi 2010 turut memberitahu media bahawa kemungkinan kesebelasan utama yang akan diturunkan adalah sama. 

Dengan Farizal Marlias beraksi buat kali pertama sepanjang kempen ini berlangsung menggantikan Khairul Fahmi Che Mat memberi impak yang positif kepada benteng pertahanan negara.

Sambil bahagian sayap negara dibantu dengan Sumareh dan Safawi yang berjaya menggunakan kebijaksanaan mereka untuk menipu pihak lawan.

“Kemungkinan besar kita akan kekalkan kesebelasan utama ketika lawan Myanmar. Tapi kita masih ada dua hari lagi latihan dan saya akan buat penilaian terbaik.

“Cuma apa yang penting saya percaya semua pemain bersedia untuk diturunkan bila-bila masa,” katanya kepada Berita Harian.