Malaysia Berita

Piala AFF Suzuki 2018 : Shahrul Saad Waspada Permainan Adisak

Tonggak pertahanan negara, Shahrul Saad bersedia menjaga asakan penyerang berbisa Thailand, Adisak Kraison pada perlawanan separuh akhir, Sabtu ini.

Beliau yang akan bekerjasama dengan Aidil Zafuan mengakui bersedia jika diberi tanggungjawab untuk merantai Adisak daripada melakukan tipu helah beliau,

“Buat masa ini jurulatih belum maklumkan lagi siapa yang akan jaga Adisak. Tapi sudah semestinya kita kena jaga dia kerana kita tahu dia penjaring terbanyak.

“Jika diberi tugas untuk menjaga dia sekalipun, Insya-Allah saya bersedia dan akan cuba melakukan tugas itu sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di padang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), hari ini.

“Namun, bukan dia saja perlu diberi perhatian kerana ada beberapa lagi pemain Thailand yang mempunyai kemahiran dan teknik yang baik di bahagian serangan.”

Adisak adalah penjaring terbanyak pada kejohanan ini apabila menjaringkan lapan gol pada peringkat kumpulan dan membantu pasukan Gajah Perang membenam Singapura minggu lalu.